Elak jadi bidan terjun anjur temasya sukan
MALAYSIA perlu mengelak daripada menjadi bidan terjun dalam menawarkan diri sebagai tuan rumah penganjuran temasya Sukan Komanwel 2026.
Malah, menurut penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, negara perlu lebih bersiap sedia dalam semua aspek sebelum membuat tawaran menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar dunia selepas Sukan Olimpik itu.
“Saya berpendapat kita perlu bersedia secukupnya sebelum membuat keputusan untuk menjadi tuan rumah. Saya tidak nafikan kebolehan kita sebagai penganjur acara sukan antarabangsa tidak perlu dipersoalkan.
“Ini kelebihan yang pernah kita buktikan sebagai penganjur sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 atau tidak, dijangka dibuat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut Hannah, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan tersebut untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri bagi membuat sebarang keputusan.
Jelas Pekan lagi, jangka masa persiapan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 terlalu singkat dibimbangi memberi impak negatif kepada imej negara.
“Cuma tanggungjawab kali ini dilihat seperti bidan terjun, tak sampai dua tahun lagi acara besar itu akan berlangsung. Dahulu waktu kita jadi tuan rumah Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, kita bersiap sedia lebih kurang lima atau enam tahun.
“Bukan persiapan sebagai tuan rumah sahaja tetapi juga persiapan memastikan atlet kita mampu bersaing dan mencatat kejayaan.
“Itu sebab kita lancarkan projek ‘Jaya 98’ untuk memastikan atlet kita mampu mencatat kejayaan. Akhirnya kita dapat 10 pingat emas, pencapaian cemerlang kita di Sukan Komanwel,” jelasnya.
Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu menarik diri pada Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AU$2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AU$7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AU$380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac 2026.
Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya tersebut.
Tambah Pekan lagi, tempoh persiapan yang panjang juga membolehkan seluruh rakyat bersatu dan jiwa Malaysia bersepadu dari segi semangat Komanwel.
“Namun, tempoh singkat dan tergesa-gesa menyebabkan kita hilang faktor kelebihan seperti pada KL98. Apa pun mungkin kita atau pemimpin sukan kita boleh dinobatkan sebagai ‘hero’ oleh Persekutuan Sukan Komanwel kerana menjadi penyelamat kali ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!