Pekida gesa individu hina Islam ditangkap

Mohd Noor (tengah) selesai membuat laporan polis berhubung isu menghina Islam.
Mohd Noor (tengah) selesai membuat laporan polis berhubung isu menghina Islam.
A
A
A

KUALA KRAI - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kuala Krai mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menghina agama Islam dan mengaku sebagai Imam Mahdi di akaun media sosial.

Pengerusi Pekida Kuala Krai, Mohd Noor Jusoh berkata, pelaku lelaki terbabit didakwa membuat hantaran dan siaran-siaran secara langsung seolah-olah mencabar agama ALLAH terbabit.

“Kami sebagai pertubuhan berprinsipkan Islam juga berasa tercabar atas penghinaan yang dilakukan dan individu ini perlu ditangkap.

“Saya menggesa pihak berkuasa seperti polis, pihak berkuasa agama Islam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkuasa lain agar mengambil tindakan tegas terhadap penama kerana kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan di platform media mereka berbaur hasutan yang jelas menghina agama Islam selain Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri,” katanya

Mohd Noor (tengah) selesai membuat laporan polis berhubung isu menghina Islam.
Mohd Noor (tengah) selesai membuat laporan polis berhubung isu menghina Islam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis berkait isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini pada Isnin.

Katanya, menyedari pelaku memuat naik hantaran-hantaran menghina Islam tersebut di medium Tiktok dan Facebook semasa beliau berada di rumah di Batu Jong, di sini pada jam 3 petang, Ahad.

Tambah Mohd Noor, laporan polis itu dilakukan juga sebagai peringatan kepada semua pihak supaya mengambil pengajaran dan tidak memandang ringan terhadap pihak-pihak yang cuba mengancam keamanan serta agama.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menyeru semua badan bukan kerajaan dan Pekida lain untuk melakukan laporan polis sama sebagai tanda mengecam mereka yang menghina agama Islam.

“Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana dibimbangi akan mempengaruhi orang ramai terutama anak-anak muda yang menggunakan media sosial,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!