Seksyen 11 WCE dibuka tengah malam ini, tol percuma 2 bulan
BUKIT GANTANG - [DIKEMAS KINI] Pemandu kenderaan yang melalui plaza tol Laluan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini tidak perlu membayar tol selama dua bulan bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tol percuma diberikan kepada pengguna yang memasuki lebuh raya itu dari Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas di kedua-dua arah hingga 11 Mei ini.
"Terima kasih kepada pihak konsesi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kerana bersetuju supaya tol diberi secara percuma selama dua bulan di laluan yang difahamkan menelan belanja sebanyak RM422 juta ini.
"Pembukaan ini adalah tepat pada masanya memandangkan kita akan menyambut bulan Ramadan esok dan Aidilfitri tidak lama lagi, tentunya laluan ini memberikan alternatif yang dinanti-nantikan. Kadar tol yang dikenakan selepas ini ialah 16 sen bagi satu kilometer," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pembukaan laluan itu di sini pada Isnin.
Beliau berkata, bagi pengguna yang memasuki WCE dari plaza tol yang dibuka sebelum ini seperti Plaza Tol Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara dan Changkat Cermin, nilai kadar tol bagi jajaran berkenaan akan dikenakan seperti biasa.
Nanta berkata, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan LLM sentiasa membuat kajian aliran trafik berdasarkan kapasiti sedia ada berbanding bilangan kenderaan di jalan raya diikuti dengan perancangan dan tindakan penambahbaikan untuk mengurangkan kesesakan terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.
Lebuhraya WCE menurut beliau, merupakan satu daripada hasil kajian yang dijalankan dan diharapkan menjadi pilihan laluan alternatif kepada laluan sedia ada dari Lembah Klang ke utara terutamanya bagi penduduk Pesisiran Pantai Barat Semenanjung Malaysia serta ke Pantai Barat dan Utara Semenanjung.
Beliau turut menyarankan rangkaian logistik bagi kenderaan berat supaya menjadikan laluan itu sebagai pilihan terutamanya yang menghala ke Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang bagi mengelakkan laluan mendaki atau berbukit, di samping mengoptimumkan kos operasi serta dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Nanta berkata, perbincangan turut diadakan bersama para penternak supaya tidak melepaskan haiwan seperti lembu sehingga memasuki lebuh raya bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan laluan berkenaan dengan selamat selain pelaksanaan pemasangan pagar.
Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara Selangor dan Perak, melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya merangkumi Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Selangor dan seterusnya menyambung jajaran melewati Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas sehingga Taiping di Perak.
Pembukaan Seksyen 11 WCE melibatkan jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit berbanding 55 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan projek pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sepanjang 60 km yang menghubungkan Gopeng dengan Kuala Kangsar, beliau berkata, ia masih dalam perancangan.
"Kita akan pastikan ia dimulakan pada pertengahan tahun ini dan kini berada pada peringkat draf awal. Kita minta ia dipercepat bagi menandatangani perjanjian dan sebagainya," katanya.
Kerajaan Perak sebelum ini mengesahkan Kabinet telah meluluskan projek pembinaan Lebuh Raya WISE yang menghubungkan antara Gopeng dengan Kuala Kangsar pada 13 Disember tahun lepas.
WISE ialah satu kaedah bagi menyelesaikan masalah trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terutama apabila berlaku kemalangan di Terowong Menora bagi memberi laluan alternatif kepada pengguna lebuh raya.
Terdahulu, dalam ucapannya Nanta berkata, pihaknya menerima sebanyak 12,245 aduan melibatkan pelbagai isu infrastruktur jalan raya menerusi sistem aduan aplikasi MYJalan, sehingga kini.
Beliau berkata, semua pihak termasuk syarikat konsesi yang diberi kontrak dan tanggungjawab menjaga dan menyelenggara jalan perlu melaksanakan tugas dengan sebaiknya kerana semua prestasi syarikat konsesi sentiasa dipantau. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!