'Setiap hari saya hidup dalam ketakutan'

Anisah telah beberapa kali membuat permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) namun masih gagal.
Anisah telah beberapa kali membuat permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) namun masih gagal.
A
A
A

SETIU - Usaha seorang wanita warga Thailand untuk mendapatkan status pemastautin tetap menemui jalan buntu apabila masih gagal mendapatkan kad pengenalan merah meskipun sudah 25 tahun mendirikan rumah tangga bersama rakyat tempatan.

Teemoh Malee atau dikenali sebagai Anisah Abdullah, 50, berkata, suaminya, Mansur Yusof, 46, kini menghidap penyakit kronik selain tidak mempunyai keupayaan untuk mencari nafkah bagi menanggung mereka sekeluarga.

Anisa memberitahu telah beberapa kali membuat permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) namun masih belum mendapat kelulusan daripada kerajaan.

"Setiap hari saya hidup dalam ketakutan walaupun mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS).

"Suami pula sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tidak lagi mampu bekerja berikutan keadaan penyakit hepatitis semakin parah selain turut mempunyai penyakit lain seperti diabetes serta darah tinggi.

"Jadi kini saya terpaksa menanggung segala perbelanjaan rumah dengan mengambil upah memasak di sebuah gerai makan di kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Permaisuri dekat sini pada Isnin.

Anisah menunjukkan pasport miliknya.
Anisah menunjukkan pasport miliknya.

Mengulas lanjut, Anisah berkata, dia juga sudah terbiasa dengan persekitaran di negara ini susulan sudah dibawa ke Tumpat, Kelantan sejak kecil.

Artikel Berkaitan:

"Sejak berusia tiga tahun saya telah dibawa ke Tumpat, Kelantan oleh ibu angkat iaitu Rogayah Ismail dan dibesarkan di negara ini.

"Jadi saya sudah biasa dengan gaya hidup di Malaysia selain tidak boleh menyesuaikan diri sekiranya terpaksa dihantar balik ke negara asal kerana tidak menguasai bahasa Thailand," jelasnya.

Ibu kepada tiga anak itu menjelaskan, ketika ini dia mempunyai visa berikutan status perkahwinan dengan warga tempatan.

Bagaimanapun, Anisah berkata, sekiranya dia bercerai mahupun kematian suami, secara automatik kelayakan untuk memohon kad pengenalan merah terbatal.

"Jadi saya berharap sangat permohonan untuk mendapatkan status pemaustatin tetap mendapat kelulusan daripada kerajaan bagi membolehkan saya menjalani kehidupan seperti biasa bersama suami dan anak-anak," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!