PNSB, IJM, LSH tambah baik infrastruktur jalan raya selatan Selangor
SHAH ALAM - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menandatangani perjanjian dengan firma pembinaan IJM Corp Bhd dan Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH) untuk menambah baik infrastruktur jalan raya di daerah selatan Selangor.
Menerusi kenyataan bersama ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
Kenyataan itu memaklumkan, perjanjian hasrat kerjasama yang ditandatangani antara ketiga-tiga pihak di Kuala Lumpur itu menandakan komitmen bagi menjayakan visi berkenaan.
"Kerjasama ini akan mengkaji pelbagai laluan sambungan yang berdaya maju dan merancang untuk memperkenalkan rangkaian pengangkutan utama dalam usaha untuk meningkatkan ketersambungan, mengurangkan masa perjalanan dan mewujudkan koridor pembangunan baharu," kata kenyataan itu pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, dengan memperkukuh logistik dan kecekapan pengangkutan di negeri Selangor, inisiatif itu bertujuan untuk merangsang ekonomi tempatan dengan menyediakan akses lebih baik kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang pekerjaan.
"Sebagai penambahbaikan dalam meningkatkan infrastruktur sedia ada, projek-projek tersebut akan menggabungkan aspek infrastruktur positif alam semula jadi termasuk tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk cekap tenaga, model perancangan bandar span untuk tebatan banjir dan pemulihan hutan bakau serta menyokong pertumbuhan mampan di wilayah selatan negeri Selangor," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, PNSB akan menerajui perancangan, pengurusan tanah dan pengawasan projek, mempamerkan komitmennya terhadap cita-cita strategik negeri Selangor, manakala kepakaran industri IJM dan LSH akan memastikan pelaksanaan lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, kerjasama yang dijalin itu sebagai komitmen bagi memanfaatkan potensi ekonomi di wilayah selatan negeri Selangor.
"Pengalaman luas PNSB dan pemahaman mendalam tentang keperluan pembangunan tempatan negeri, di samping kekuatan kolektif IJM dan LSH, kami berhasrat mewujudkan infrastruktur yang teguh menyokong visi jangka panjang kami untuk pertumbuhan dan pembangunan di wilayah tersebut dengan menerapkan elemen mampan menggunakan kerangka prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Lee Chun Fai memberitahu, penglibatan pihaknya dalam inisiatif itu menggunakan kepakaran teras IJM dalam bidang pembinaan dan pembangunan infrastruktur untuk menyokong pembangunan negeri Selangor.
"Kami berhasrat memenuhi keperluan infrastruktur masa kini dan masa depan negeri ini dan memastikan faedah jangka masa panjang.
"Pendekatan kami adalah pragmatik, tertumpu kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan wilayah yang mampan," tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif LSH, Tan Sri Lim Keng Cheng memaklumkan, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan PNSB dan IJM dalam usaha strategik tersebut.
Kata beliau, gabungan kepakaran ketiga-tiga pihak itu dalam pengurusan modal dan pembangunan infrastruktur akan memastikan kejayaan merealisasikan inisiatif IDRISS.
Keng Cheng berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan infrastruktur pengangkutan negeri Selangor yang akan menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan
"Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah meningkatkan landskap ekonomi dengan menambah baik penyambungan infrastruktur, selain bertujuan mewujudkan ekosistem kondusif untuk perniagaan dan pelaburan serta memastikan masa depan yang lebih cerah untuk negeri ini," kata beliau.
IDRISS bertujuan untuk memanfaatkan potensi ekonomi daerah Sepang dan Kuala Langat.
Projek pembangunan dalam IDRISS meliputi pelbagai sektor, termasuk perindustrian, logistik, pergudangan, pelabuhan, perdagangan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.
IDRISS dijangka menyumbang dengan ketara kepada pembangunan negeri Selangor sebagai hab utama bagi perdagangan dan pelaburan serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!