36 jam bertarung nyawa di laut

Zahari (kiri), Zakaria
Zahari (kiri), Zakaria
A
A
A

PEKAN - Dua nelayan meluahkan rasa bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan bersama ahli keluarga selepas 36 jam berada di perairan Pahang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan pada Sabtu.

Zahari Sidek, 57, berkata, pengalaman dibadai ombak dan cuaca buruk bersama rakannya, Zakaria Ramli, 58, bagaikan mimpi ngeri buat mereka.

Menurutnya, namun keyakinan dan kebergantungan kepada ALLAH sepenuhnya membuatkan mereka terselamat selepas bot dinaiki mereka dihanyutkan arus sehingga ke Pantai Tanjung Selangor, di sini.

"Syukur masih dapat sambut puasa tahun ini dan (bot) selamat (terdampar) di sini (Pantai Tanjung Selangor).

"Dua malam kami duduk di lautan dan risikonya tinggi dengan cuaca buruk, ombak tingginya dan tiada bot (nelayan lain) ke laut," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Zahari dan Zakaria dilaporkan hilang pada petang Sabtu selepas keluar memancing di jeti dari jeti di Kampung Baru Beserah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu bagaimanapun mengesahkan kedua-dua mangsa selamat ditemukan di pantai terbabit kira-kira jam 8 pagi, Isnin.

Zahari (kiri) dan Zakaria bersyukur terselamat selepas 36 jam berada di perairan Pahang susulan bot dinaiki mereka rosak.
Zahari (kiri) dan Zakaria bersyukur terselamat selepas 36 jam berada di perairan Pahang susulan bot dinaiki mereka rosak.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Zahari memberitahu ini adalah pengalaman pertama kali buat dirinya sepanjang 30 tahun menjalankan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Jelasnya, pengalaman yang mendukacitakan buat dirinya apabila berdepan dengan persekitaran gelap, selain kehabisan makanan.

"Pada masa itu, saya hanya minum air batu yang digunakan untuk membeku ikan. Semua hasil tangkapan terpaksa dibuang semula ke laut dan ketika itu paling penting ialah keselamatan nyawa.

"Saya bersyukur kerana kami selamat setelah bot dihanyutkan arus ke pantai, tapi sebagai nelayan kami sudah tahu apa risiko bakal dihadapi," katanya yang tidak menjatuhkan sauh kerana bimbang dilanggar bot pukat tunda dan kapal dagang ketika di Perairan Pahang.

Sementara itu, Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang kira-kira 10 batu nautika ke Jeti di Kampung Baru Beserah.

Katanya, pada ketika itu bot kehabisan minyak dan mereka sudah menambah bekalan minyak yang dibawa, namun enjin bot tidak dapat dihidupkan.

"Saya puas untuk hidupkan enjin, sehingga talinya putus. Jadi kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali reda. Seterusnya kami dihanyutkan arus dan pada malam itu hujan lebat dan laut bergelora.

"Akibatnya bot kami hanyut ke arah selatan dan situasi itu amat berisiko kerana lokasi terbabit adalah laluan bot pukat tunda dan kapal dagang," katanya.

Bapa kepada enam anak memaklumkan mereka menjangkakan bot dinaiki mereka akan dihanyutkan ke pantai berdasarkan arah tiupan angin.

"Saya bersyukur kira-kira jam tiga pagi tadi tiba di Tanjung Selangor," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!