Perlis yakin peroleh sumber baharu ganti hasil judi
KANGAR - Perlis yakin sumber baharu akan dijana daripada sektor lain selepas negeri itu tidak lagi memperbaharui lesen judi sejak tahun lalu.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, selepas kerajaan negeri berjaya mencapai sifar premis judi setelah penutupan premis terakhir di negeri itu pada Rabu lepas, pihaknya yakin ia tidak akan menjejaskan kemasukan pelabur.
Menurutnya, tindakan membanteras perkara yang mungkar sudah tentu akan diberikan ganjaran mahupun kebaikan dalam aspek lain.
“Aktiviti judi bertentangan dengan agama kita, saya percaya apabila kita banteras perkara mungkar pasti ada sumber-sumber lain yang akan dikurniakan kepada kita (Perlis) oleh ALLAH SWT.
“Sumber dari sektor perjudian kepada hasil kerajaan negeri tak banyak pun, kita harap usaha menyekat perkara mungkar akan menyebabkan kebaikan bertambah buat negeri ini,” katanya di sini pada Isnin.
Asrul Aimran berkata, pihaknya sentiasa mendoakan agar pelabur akan terus membuat pelaburan di Perlis dan keputusan menutup premis judi akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.
“Setakat ini, respons keseluruhan masyarakat amat baik dan memberangsangkan, bukan sahaja daripada orang Islam, termasuk bukan Islam.
“Mereka setuju dengan keputusan kerajaan negeri ini kerana judi merosakkan institusi keluarga sekiranya ada ahli keluarga terjebak dengan judi.
"Ini kerana seluruh ahli keluarga akan terkesan dengan keburukan judi.
"Mereka juga akui unsur perjudian membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini terdapat enam premis judi dengan empat daripadanya telah pun ditutup pada tahun lepas manakala premis kelima ditutup pada 31 Januari.
Asrul Aimran berkata, keputusan menghentikan lesen premis judi adalah demi memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum di Perlis dapat hidup dengan selamat dan sejahtera.
“Kita akan pantau dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk kekang wujudnya aktiviti perjudian haram.
“Pada masa sama, rakyat diminta menyampaikan maklumat berkaitan agar isu berkenaan dapat ditangani secara holistik dan berkesan,” jelasnya.
Perlis menjadi negeri terbaharu dalam negara yang menghentikan dan menutup premis perjudian secara berperingkat selepas penutupan cawangan terakhir di Padang Besar pada 6 Mac.
Sebelum ini, Perlis menghentikan operasi premis judi antara Julai hingga Oktober tahun lepas berikutan pengumuman kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen operasi kedai judi.
Walaupun penutupan pusat perjudian menyebabkan kerugian ekonomi, kerajaan negeri sanggup mengorbankan jumlah tahunan RM2,544 hasil daripada lesen operasi tersebut.
Perlis menjadi negeri keempat bawah pentadbiran Pas yang menghentikan pengeluaran lesen pusat perjudian selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Kedah menutup semua 45 premis perjudian sejak Januari 2023, manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing mengenakan larangan itu sejak 1990 dan 2020.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!