0.02 peratus sahaja derma organ - IJN
KUALA LUMPUR - Lebih ramai individu diperlukan sebagai penderma organ terutamanya bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan segera.
Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 300,000 orang yang telah berikrar untuk menderma organ seperti jantung, hati, paru-paru dan sebagainya, namun 0.02 peratus sahaja berakhir dengan pendermaan tersebut.
Menurutnya, di IJN sahaja, terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai untuk melaksanakan pemindahan yang melibatkan jantung.
"Kekangan dan cabaran yang kita ada selama 30 tahun adalah mendapatkan organ, jadi kami memerlukan kerjasama daripada setiap individu yang telah berikrar untuk menderma organ.
"Walaupun ramai yang berikrar tetapi apabila tiba masanya, ada keluarga yang tidak bersetuju dan sebagainya.
"Negara paling berjaya dalam pemindahan ini yang boleh dicontohi ialah Turkiye yang mana pada 2008 hingga 2020, mereka berjaya membuat pemindahan sebanyak 768 di 15 pusat jantung tetapi negara kita hanya 29," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Second Chance At Life: Successful Heart Transplant Journey di IJN sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim; Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotoraks, Profesor Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib dan tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut, menurut Noor Hisham, ramai pakar dari Malaysia telah dihantar ke Turkiye untuk mempelajari lebih lanjut mengenai pemindahan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, kepakaran berkenaan sukar dikembangkan berikutan masih terdapat stigma buruk dalam kalangan masyarakat mengenai perkara itu.
"Orang ramai masih mempunyai stigma walaupun pihak jabatan agama Islam telah mengeluarkan fatwa dibolehkan untuk menderma organ yang bukan hanya melibatkan jantung sahaja.
"Kalau ada kepakaran tetapi tidak ada organ, susah untuk meningkatkan (kepakaran) ini.
"Oleh itu, kerjasama padu daripada semua pihak seperti Kementerian Kesihatan (KKM), IJN dan sebagainya diperlukan untuk mengatasi stigma ini seterusnya memastikan kejayaan pemindahan organ di negara kita," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!