Waktu operasi pejabat PMA, UTC Selangor dipendekkan
SHAH ALAM - Waktu operasi pejabat pengeluar Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor akan berubah sempena Ramadan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi pada Isnin hingga Jumaat akan bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang manakala 8 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Sabtu kecuali di Pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat (tutup operasi).
"Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor pula akan beroperasi setiap hari Isnin hingga Ahad, cuma waktu dipendekkan sedikit bermula jam 8 pagi hingga setakat jam 4.30 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata, selain bulan Ramadan, bermula 1 Mac, JIM Selangor telah menetapkan Pejabat Pengeluar Pasport Malaysia di UTC Selangor beroperasi jam 8 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Jumaat manakala jam 8 pagi hingga 5 petang bagi Sabtu dan Ahad.
"Sehubungan itu, para pelanggan adalah dinasihatkan untuk merancang masa dengan baik bagi berurusan di mana-mana pejabat pengeluar Pasport Malaysia.
"Sebarang pertanyaan boleh hubungi nombor telefon Kaunter Khidmat Pelanggan JIM Selangor di talian 03-56500000 atau layari https://www.imi.gov.my/," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!