Jangan jadikan Ramadan sebagai bulan pembaziran - Fadillah

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru umat Islam di negara ini supaya tidak menjadikan Ramadan sebagai 'the mother of food waste' atau bulan pembaziran.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata, pembaziran bukan sahaja dilarang dalam Islam malah bertentangan dengan prinsip kelestarian alam.

"Marilah kita saling mengingatkan antara satu sama lain agar mengurangkan budaya pembaziran yang berlebihan sepanjang bulan puasa ini,” katanya.

Beliau turut mengajak umat Islam untuk menggandakan ibadah bagi meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT serta kecintaan sesama manusia.

"Sambutlah Ramadan ini sebagai peluang terbaik untuk terus bermuhasabah dan memperbaiki diri.

"Mudah-mudahan setiap amalan kita akan diterima oleh ALLAH SWT dengan rahmat, kasih sayang, pengampunan dan keberkatan daripada-Nya. Jangan lupa untuk titipkan juga doa buat saudara-saudara kita di bumi Gaza dan semoga ALLAH mengangkat doa-doa kita untuk pembebasan rakyat Palestin kelak,” katanya.

Fadillah dalam pada itu turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam.

"Ramadan Al-Mubarak bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam, bulan terbaik untuk kita terus meningkatkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah serta amalan kebajikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!