[VIDEO] Kertas siasatan terhadap Kok Seong dibuka - Saifuddin

A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu kertas siasatan telah dibuka terhadap pensyarah dan Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong susulan kenyataannya berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Topik mengenai kewujudan sekolah vernakular di negara kita memang tajuk yang sentiasa dibahaskan sudah berpuluh tahun. Ada pandangan pro, ada pandangan kontra, ada kelebihan dan ada kekurangan... kalau kita nak tengok.. satu kekuatan di sana, misalnya trend ketika ini ramai pelajar-pelajar Melayu memilih untuk belajar di sekolah vernakular.

"Itu pun satu fakta juga... ketika kritik terhadapnya (sekolah vernakular) ada, ada juga dalam jumlah yang besar memilih (untuk bersekolah di sekolah vernakular),” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Kok Seong sebelum ini dikatakan mengeluarkan kenyataan menerusi satu rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

Saifuddin semasa sesi penggulungan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
Saifuddin semasa sesi penggulungan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama

Susulan itu Teresa Kok (DAP-Seputeh) ketika perbahasan menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong berhubung perkara itu selain mempersoalkan mengapa beliau tidak disiasat, dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang dan Tony Pua.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kertas inkuiri terhadap Kit Siang telah pun dihantar kepada Peguam Negara, manakala kertas siasatan berkaitan laporan terhadap Tony Pua akan diserahkan kepada Peguam Negara esok (12 Mac).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut mengesahkan 63 laporan polis diterima berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Bozz Jebat atau nama sebenarnya Zool Amali Husin yang didakwa menghina Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg melalui aplikasi YouTube.

"Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian ataupun perkhidmatan rangkaian. Kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Berkenaan status semasa kertas siasatan berhubung kes Teoh Beng Hock yang ditemukan mati pada 16 Julai 2009, Saifuddin Nasution berkata, ia kini di peringkat Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak atas arahan Jabatan Peguam Negara telah pun membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah), dan setelah siasatan selesai, pihak polis telah menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara pada 11 Ogos 2023," katanya.

Beliau berkata, PDRM perlu menunggu arahan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya sekiranya ada beberapa perkara yang harus dilaksanakan.

"..seperti (contohnya) kertas siasatan tidak sempurna atau perlu lagi aspek siasatan untuk dilengkapkan. Pihak polis sedia memberi kerjasama," kata Saifuddin Nasution.

Beng Hock ditemukan mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!