Jenazah bayi, ibu dikebumi satu liang lahad
SEKINCHAN - Jenazah bayi berusia sembilan bulan dan ibunya yang maut akibat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Buloh, awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9, Pasir Panjang di sini petang tadi.
Jenazah Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim dan ibunya, Ain Fazira Mohd Yazid, 25, dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 6. 30 petang tadi.
Terdahulu, mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Sungai Buloh dibawa keluar pada jam 4. 30 petang dan kemudian disembahyangkan di Masjid As-Saidiah Pasir Panjang.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam tadi, tiga wanita dan seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Satria dan Mitsubishi ASX di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat termasuk bayi maut nahas dua kenderaan
Pemandu, kereta Proton Satria yang juga suami kepada Ain Fazira, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Sungai Buloh.
Sementara jenazah dua lagi iaitu Asiah Mat, 74, dan anak perempuannya, Ruzi Osman, 54, pula dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 23 Sungai Nibong selepas solat Isyak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!