Latihan intensiti tinggi medan muka baharu pamer kemampuan - Faisal Halim

Faisal Halim. Foto Bernama
Faisal Halim. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN sayap skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim percaya latihan berintensiti tinggi membuka ruang kepada muka baharu membuktikan kemampuan mereka menjelang saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan ini.

Mohamad Faisal atau dikenali Faisal Halim berkata, biarpun diberikan masa singkat mengikuti kem latihan pusat bersama-sama pemain senior bermula Jumaat lepas, ia merupakan peluang keemasan untuk mereka menambat hati pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon.

Pan Gon membuat persiapan awal dengan memanggil 33 pemain menyertai kem latihan pusat dengan 21 daripada 26 pemain yang beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas, dikekalkan pada panggilan kali ini.

"Pada saya sukar sebab kita beberapa bulan tanpa perlawanan. Banyak pasukan belum berlatih lagi...sebagai pemain kita kena fokus. Apa boleh saya katakan pemain dalam skuad kali ini sedikit ‘malang’ sebab ia memang mencabar.

"Saya faham dia (Pan Gon) buat ini sebab kita tiada perlawanan terdekat. Ada pemain muda datang dan bertanya macam mana saya main dengan corak seperti ini (intensiti tinggi) namun bagi saya ia peluang masing-masing kalau dapat ikut (Pan Gon) ini rezeki kamu untuk bersinar," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM pada Isnin.

Malaysia di ranking dunia ke-132 dijadual menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat pada 21 Mac (22 Mac, 2 pagi waktu Malaysia) sebelum melayani kunjungan pasukan ke-80 dunia itu di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini pada 26 Mac.

Pemain berusia 26 tahun itu turut meletakkan harapan untuk meraih mata pada kedua-dua perlawanan berkenaan.

"Kalau kita pergi Oman dapat mata dan di Bukit Jalil (timbal balik) kita dapat mata jadi, kita dah selamat di pusingan seterusnya. Tapi bila saat-saat genting cabaran jadi sukar dan ada baki empat perlawanan kita kena lakukan terbaik untuk dapat laluan mudah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman dan Kyrgyzstan yang berkongsi tiga mata di kedudukan kedua dan ketiga manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata berbaki empat perlawanan lagi.

Anak buah Pan Gon akan menentang Nepal dalam aksi pemanas badan dijadual berlangsung secara tertutup di Wisma FAM pada 15 Mac ini sebelum berlepas ke Muscat pada 17 Mac. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!