MOT tidak pernah paksa KTMB kosongkan bangunan

Anthony Loke semasa sesi penggulungan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
Anthony Loke semasa sesi penggulungan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah mengarahkan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dikosongkan dan dipindahkan bagi memberi laluan kepada pemilikan bangunan warisan itu oleh pihak swasta seperti didakwa sesetengah pihak.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook sebaliknya berkata, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), selaku pemilik bangunan berusia lebih 100 tahun itu di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, menawarkan KTMB berpindah ke Menara RAC yang baru siap dibina tahun lepas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, secara percuma.

"Bangunan lama kita sedia maklum ada pelbagai masalah, sebab itu RAC bagi tawaran untuk pindah tanpa sewa, secara percuma. Tiada soal RAC paksa KTMB untuk pindah kerana itu hanya tawaran. Sekiranya KTMB tidak mahu, RAC boleh menyewakan kepada pihak swasta dan menjana pulangan sewa.

"Tidak pernah ada sebarang cadangan bahawa bangunan itu kalau dikosongkan nak diserahkan kepada mana-mana syarikat swasta seperti YTL. Itu bangunan warisan, bangunan sejarah negara, sudah tentu kepunyaan kerajaan melalui RAC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menara RAC berkenaan katanya dibina dengan usahasama syarikat YTL yang telah lama dirancang dan dimulakan semasa beliau menjadi Menteri Pengangkutan pada 2018.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, ketika ini tiada sebarang proses pemindahan dilakukan daripada bangunan yang dibina oleh pihak British semasa zaman kegemilangan kereta api di Tanah Melayu itu.

"Tawaran itu sama ada diterima atau tidak belum diputuskan, kalau KTMB tak nak terima itu terpulang kepada Lembaga Pengarah KTMB, MOT tidak akan paksa untuk pindah,” katanya dan memaklumkan semua aset dan harta di bawah KTMB diletak di bawah RAC.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya bangunan warisan itu dikosongkan, sudah tentu projek-projek pemuliharaan dan pemeliharaan seperti yang dilakukan oleh Khazanah Nasional Berhad di Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Negara, ketika ini dapat dilaksanakan.

Menurut maklumat dikongsikan Facebook KTMB, bangunan KTMB yang siap pada 29 September 1917 itu pernah mengalami kerosakan besar dua kali di sayap utara akibat dibom ketika Perang Dunia II serta kejadian kebakaran di tingkat dua bahagian sama pada 14 November 1968. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!