Buruh kimpalan maut jatuh bumbung gudang

Mangsa terjatuh dari ketinggian lebih 30.5 meter menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa terjatuh dari ketinggian lebih 30.5 meter menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang buruh kimpalan warga Myanmar maut selepas terjatuh dari bumbung gudang di sebuah kilang kicap di sini ketika sedang menjalankan kerja kimpalan pada jam 1.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa, Mohd Hussin Fazal Ahmed, 51, yang juga pekerja kilang berkenaan maut di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa terjatuh dari ketinggian lebih 30.5 meter di sebuah gudang kilang kicap di Kawasan Perindustrian Mak Mandin di sini menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.25 petang, beberapa anggota dan pegawai polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap selain berlumuran darah. Terdapat cebisan otak berhampiran mayat mangsa.

"Mangsa didapati terjatuh dari bumbung gudang kilang yang mana kerja-kerja kontrak membaiki bangunan gudang di belakang kilang tersebut sedang dijalankan.

"Terdapat satu lubang besar pada bumbung gudang kilang tersebut dipercayai mangsa terjatuh dari situ semasa menjalankan kerja-kerja kimpalan," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, menurut keterangan seorang saksi, dia terdengar bunyi kuat seperti benda terjatuh dalam gudang makanan ringan di kilang tersebut.

"Setelah diperiksa, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di lantai dalam gudang tersebut dan sudah tidak bernyawa.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati, kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!