KWSP ada kebebasan mutlak tentukan strategi pelaburan

KWSP bebas menentukan keputusan pelaburannya dalam usaha untuk memberi pulangan mampan kepada pencarum tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
KWSP bebas menentukan keputusan pelaburannya dalam usaha untuk memberi pulangan mampan kepada pencarum tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bebas menentukan keputusan pelaburannya dalam usaha untuk memberi pulangan mampan kepada pencarum tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, pelaburan oleh pengurus dana persaraan terbesar negara itu menjadi 'modus operandi’ bagi entiti yang mempunyai pendedahan signifikan dalam pasaran global iaitu kira-kira 38 peratus.

“KWSP memang ada pelaburan di luar negara dan dari segi peruntukan aset, pernah diumumkan 38 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran global.

“Jika lihat dari segi profil pendapatan, lebih daripada separuh disumbangkan oleh pendapatan luar negara.

“Oleh itu apabila KWSP mahu mengumumkan dividen, ia berdasarkan pendapatan yang telah direalisasikan (bermaksud) dah jual baru boleh bayar dividen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin dalam penulisannya berpandangan, KWSP tidak sepatutnya dipaksa menambah pelaburan dalam negara semata-mata untuk membantu mengukuhkan kadar tukaran ringgit.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata, pelaburan yang dibuat oleh KWSP adalah bersandarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang ditetapkan setiap tahun.

“Secara umum dalam tujuan dividen, ia berdasarkan pendapatan pelaburan yang telah direalisasikan dan akan ada unsur duit pelaburan luar negara masuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Secara teori, sebahagian daripada pendapatan tersebut akan dibawa balik untuk digunakan, contoh pembayaran dividen.

“Duit masuk dan keluar dalam pelaburan KSWP adalah satu yang normal dan menjadi kebiasaan memandangkan mereka mempunyai pendedahan dalam pasaran global,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!