'Kami jumpa banyak ikan mati, syak sekumpulan lelaki guna bom'

Tangkap layar video tular di media sosial mengenai aktiviti tangkapan ikan yang dikatakan mencurigakan.
Tangkap layar video tular di media sosial mengenai aktiviti tangkapan ikan yang dikatakan mencurigakan.
A
A
A
SHAH ALAM - Sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan hutan Gerik, Perak pada Jumaat.

Pemancing dikenali Faizal berkata, pada awalnya dia bersama lapan rakannya datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka tidak mendapatkan hasil seperti yang diharapkan malah menemui bangkai beberapa ekor ikan kelah di atas batu berdekatan sungai tersebut.

Bangkai ikan yang ditemui di atas batu di kawasan hutan Gerik, Perik.
Bangkai ikan yang ditemui di atas batu di kawasan hutan Gerik, Perik.

"Selalunya kami memancing di situ mesti dapat ikan tetapi hari kejadian tidak ada langsung, jadi kami naik ke kawasan atas sedikit dan kami jumpa banyak yang baharu mati kerana matanya masih jernih.

"Kami kecewa kerana perjalanan yang mengambil masa lebih kurang enam jam untuk sampai ke sungai ini tetapi tidak membuahkan hasil malah banyak juga organ dalaman ikan sudah dihanyutkan yang kami jumpa.

"Tidak lama selepas kami pulang, saya menerima satu video melalui kumpulan di WhatsApp yang memaparkan mereka sedang berseronok dengan hasil tangkapan di tempat saya memancing tadi dan saya syak mereka menggunakan bom, disebabkan rasa marah, saya terus memuat naik di Facebook," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.

Berikutan itu pada Isnin, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyiasat aktiviti tular sekumpulan lelaki yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, siasatan dijalankan pihaknya termasuk mengenal pasti lokasi, tarikh kejadian dan individu terbabit.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, dia telah menerima beberapa panggilan dan WhatsApp daripada pemilik video berkenaan supaya memadamnya dengan alasan ia hanya satu salah faham.

Susulan itu, Faizal telah membuat satu laporan polis untuk melindungi dirinya di Balai Polis Kulim Hi-Tech Park, Kedah pada petang Ahad.

"Kawan-kawan saya juga ada buat laporan polis di Gerik, Perak berkenaan isu ini dan kami juga melaporkan isu ini di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta DOF.

"Kami harap ada tindakan sewajarnya daripada pihak berkenaan kerana ia adalah satu kesalahan yang besar," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!