Sisa makanan diproses jadi baja kompos di Iftar Ala Madinah
SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 yang berlangsung bermula Rabu (13 Mac) hingga 5 April depan akan membawa kelainan dengan menyediakan mesin untuk memproses sisa makanan menjadi baja kompos.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, ia bertujuan untuk memperkenalkan kepada orang ramai mengenai kaedah kitar semula yang memberi manfaat kepada alam sekitar.
“Kita tahu sepanjang Ramadan, ramai yang akan membeli atau mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dan sisa makanan akan dibuang begitu sahaja.
“Jadi dengan sasaran 1,500 pengunjung setiap hari, kita harap dapat memberi kesedaran kepada umum mengenai kepentingan untuk memelihara kelestarian alam menerusi penyediaan mesin kitar semula berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf itu akan bermula pada jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.
Antara aktiviti yang disediakan ialah sesi tazkirah, ceramah, jualan makanan dan kegiatan sampingan lain yang bermanfaat di samping mengambil keberkatan Ramadan.
Dalam pada itu, Nik Justin memaklumkan, konsep kitar semula sisa makanan tersebut merupakan inisiatif korporat oleh Kumpulan Karangkraf di bawah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tambah beliau, pengunjung yang hadir boleh melihat sendiri bagaimana proses itu dilakukan dan berpeluang untuk membawa pulang baja kompos percuma pada hari terpilih.
“Kita ada mesin khas yang disediakan di Dataran Karangkraf, jadi pengunjung berkesempatan untuk lihat cara yang dilakukan untuk menukar sisa makanan menjadi baja.
“Baja kompos ini juga akan digunakan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pemberian sumbangan untuk komuniti setempat dan menjual kepada petani atau pengusaha penanaman baharu dengan harga rahmah dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Projek Mentari Alam Eko (M) Sdn Bhd, Fairuzzatulaini Alias berkata, mesin kitar semula tersebut dicipta untuk menyelesaikan masalah lambakan sisa makanan di tempat pelupusan sampah.
Menurutnya, ia akan memproses sisa makanan yang dimasukkan ke dalam mesin berkenaan dan akan bertukar menjadi baja kompos dalam masa 24 jam.
“Ini adalah kali pertama ia diletakkan di tempat umum kerana kebiasaannya ia diletakkan di pasar awam," katanya
Diharapkan dengan inisiatif tersebut akan membuka minda lebih ramai orang bahawa sisa makanan boleh ditukar menjadi kompos sama ada menggunakan mesin atau secara manual di rumah masing-masing.
“Dalam masa sama, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyediakan sebanyak empat sehingga lima unit mesin berkenaan untuk kegunaan orang awam di pasar awam sekitar Shah Alam,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!