Minum banyak air semasa sahur, berbuka

Minum lebih banyak air kosong semasa sahur dan berbuka puasa untuk memastikan tubuh kekal hidrasi sepanjang Ramadan ini.
Minum lebih banyak air kosong semasa sahur dan berbuka puasa untuk memastikan tubuh kekal hidrasi sepanjang Ramadan ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan menyarankan orang ramai supaya minum lebih banyak air kosong semasa sahur dan berbuka puasa untuk memastikan tubuh kekal hidrasi sepanjang Ramadan ekoran fenomena El Nino yang melanda negara.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, umat Islam yang berpuasa juga perlu mengambil lebih banyak buah-buahan mengandungi air seperti tembikai dan kurma untuk membekalkan nutrien mencukupi kepada badan agar kekal cergas.

Dr Haliza
Dr Haliza

“Mereka yang berpuasa turut dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi untuk mengelak daripada kerap membuang air kecil.

“Paling penting, elakkan diri daripada terdedah dengan persekitaran luar jika tidak perlu atau meminimumkan keberadaan di luar bangunan,” katanya kepada Sinar Harian.

Akhbar ini pada Jumaat melaporkan, taburan hujan yang berkurangan diramal boleh menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas sepanjang Ramadan ekoran fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Chung Jing Xiang berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan angin timuran yang biasanya bertiup ke arah Malaysia menjadi lemah dan bertukar ke arah Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, Dr Haliza berkata, bagi individu yang masih perlu keluar rumah dan terdedah dalam tempoh yang lama dengan persekitaran luar, mereka disarankan untuk memakai topi atau payung serta mengenakan pakaian nipis serta berwarna cerah untuk mengelak kehilangan peluh yang banyak.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, gunakanlah pendingin udara dan kipas dengan lebih kerap untuk menyejukkan suhu persekitaran.

"Jangan berada dalam tempoh lama dalam kenderaan terutama jika tanpa penyaman udara.

“Sepanjang cuaca kering dan panas ini juga elakkan aktiviti agresif seperti sukan lasak supaya ia tidak memberi kesan mudarat kepada tubuh,” ujarnya.

Beliau berkata, pekerjaan di luar bangunan yang berpotensi menyebabkan dehidrasi seperti membuat bangunan juga seharusnya diminimumkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!