Akibat lempar syiling pada enjin pesawat, penerbangan ditunda 4 jam
BEIJING - Penerbangan sebuah pesawat China Southern Airlines terpaksa ditangguhkan lebih empat jam, gara-gara seorang penumpang bertindak membaling duit syiling pada enjin kerana taasub dengan kepercayaan karut.
Menurut laporan CNN, insiden 'menguji kesabaran' penumpang lain itu berlaku ketika penerbangan dari Sanya ke Beijing pada 6 Mac lalu.
Rakaman video dikongsi rangkaian media tempatan menunjukkan kru penerbangan menyoal suspek yang melemparkan beberapa keping duit syiling tersebut.
Penumpang itu mengakui perbuatannya atas alasan demi untuk mendapat 'nasib yang baik'.
Tindakannya itu telah menyebabkan pemeriksaan keselamatan menyeluruh terpaksa dilakukan oleh kru penyelenggaraan yang kemudiannya menemui wang syiling tersebut.
Kejadian itu mencetuskan bantahan daripada syarikat penerbangan itu yang mengecam perbuatan khurafat itu menerusi platform Weibo.
China Southern Airlines turut menegaskan tentang bahaya melemparkan sebarang objek yang berisiko mengancam nyawa penumpang lain.
Pada 2021, kejadian sama pernah berlaku hingga menyebabkan sebuah penerbangan yang membawa 148 penumpang dari Weifang ke Haikou terpaksa dibatalkan setelah seorang penumpang juga membaling duit syiling yang dibalut dalam kertas merah untuk tujuan sama. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!