Perpaduan perlu kematangan dan kebijaksanaan rakyat
BAK kut teh, sekolah vernakular dan kampung baru terus menjadi modal orang-orang politik untuk berbalah sesama sendiri.
Ia jelas sekali merupakan satu isu perkauman yang menjadi perjuangan pihak tertentu.
Sejak puluhan tahun dahulu, banyak usaha dibuat untuk menyatukan semua kaum di negara ini.
Namun malangnya sampai ke hari ini usaha untuk memecahbelahkan juga terus berlaku.
Kebanyakan daripada perkara yang ditimbulkan pula bukan perkara baharu tetapi diulang-ulang supaya terus segar dalam minda dan hati rakyat.
Tujuan ia dilakukan ialah untuk memastikan pihak yang membangkitkan isu tersebut terus kekal relevan dan mendapat sokongan ramai.
Terbaharu ialah pendedahan Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong yang mendakwa kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.
Jika dakwaan ini benar maka bolehlah kita andaikan bahawa kita sedang berhadapan dengan masalah yang besar dalam negara ini.
Jadi dengan apa yang dibangkitkan ini adakah penyelesaiannya dengan menutup sekolah-sekolah vernakular di negara ini, sekali gus dapat menutup ruang kebencian ?
Kerajaan perlu siasat sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut dan jika ia berlaku maka ambillah tindakan sewajarnya.
Jangan biarkan api kebencian merebak dan akhirnya memusnahkan negara yang kita cintai ini.
Perbalahan yang dicetuskan oleh pihak tertentu ini sedikit pun tidak menguntungkan kita semua.
Kementerian Perpaduan juga harus berfikir luar kotak untuk memupuk keharmonian dalam negara dan tidak sekadar program-program yang stereotaip.
Bagaimanapun jika kempen bukan cara penyelesaian yang berkesan pupuk perpaduan, mungkin kaedah lebih efektif ialah menerusi satu bentuk akta khas tangani masalah tersebut dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, kita turut mengharapkan kebijaksanaan dan kematangan rakyat apabila isu-isu seperti ini ditimbulkan serta tidak cepat melatah.
Ini kerana sesetengah isu yang dibangkitkan sekadar permainan politik demi kepentingan kumpulan tertentu sahaja.
Selagi mereka masih belum mencapai apa yang diinginkan, selagi itulah cabaran untuk mengekalkan perpaduan ini tidak akan dapat dicapai.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!