Adik Attar pindah sekolah, tinggal bersama datuk nenek
TANJUNG MALIM - Kanak-kanak lelaki, Attar Azim Syukran Jamil, 9, yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kelantan, 2 Mac lalu akan bertukar sekolah.
Murid Tahun Tiga itu akan berpindah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara dekat Sungkai di sini dan tinggal di kediaman keluarga arwah ayahnya bersama datuk dan nenek.
Ibu saudara, Umi Salwa Ab Hamid, 40, berkata, ahli keluarga diketuai abangnya sedang menguruskan proses pertukaran sekolah itu.
"Insya-ALLAH, jika tiada apa-apa masalah, Attar akan mula sekolah di sini Isnin depan.
"Persepakatan ini dicapai selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah keluarga termasuk Attar sendiri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurutnya, Attar Azim kelihatan gembira dengan pertukaran itu dan teruja untuk meneruskan sesi pembelajaran di sekolah baharu.
"Di sini ada ramai kawan dan sepupu yang hampir sebaya dengannya, jadi tidaklah dia berasa sunyi. Dia pun nampak seronok nak sekolah di sini," katanya.
Beliau berkata, tugas menjaga dan menguruskan keperluan persekolahan kanak-kanak yatim piatu itu akan diambil alih olehnya.
"Memandangkan saya yang duduk dengan mak dan abah, jadi saya akan bantu menjaganya di sini.
"Adik-beradik lain turut ambil tanggungjawab sama dengan peranan masing-masing.
"Alhamdulillah, dalam hal ini kami adik-beradik berjanji untuk menjaga amanah yang ditinggalkan kepada kami ini sebaik mungkin," katanya.
Dalam kejadian di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai sekitar jam 1.40 petang itu, Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama anak mereka, Lufya Adeena berusia setahun disahkan terkorban di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Attar Azim yang turut terlibat dalam kejadian itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.
Kesemua mereka semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.
End
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!