MCW gesa ahli politik tidak manipulasi fakta

Jais
Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa ahli politik supaya tidak memanipulasi fakta dan undang-undang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi serta peranan agensi penguat kuasa negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebarang perkara yang dibangkitkan berkaitan isu melibatkan rasuah, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh bertindak demi menjalankan tanggungjawab membanteras rasuah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat 'non-partisan' MCW ingin memberi pandangan berdasarkan fakta dan undang-undang yang sedia ada, bukannya polemik serta manipulasi fakta.

“Merujuk kepada keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan imuniti Parlimen, sepertimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), ia sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.

“Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Datuk Wan Saiful (Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan) untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berpandangan bahawa SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan atau ucapan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ini selepas SPRM memberikan tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil membuat laporan berhubung dakwaan beberapa individu menawarkan sogokan kepadanya jika menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Wan Saiful ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Jais berkata, apabila Wan Saiful memaklumkan mengenai dakwaan rasuah itu maka sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara proaktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu.

“Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!