Kerajaan tidak kekang hak bersuara wartawan - Fahmi
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara khususnya bagi para wartawan dalam menjalankan tugas dan membuat pelaporan susulan pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu pada 20 Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebebasan media itu menjadi salah satu daripada teras utama yang perlu disokong, malah dimakmurkan lagi oleh semua pihak.
Ujar beliau, sepanjang memegang jawatan selaku menteri, tidak ada wartawan yang ditahan atau disoal siasat kerana menjalankan tugas mereka.
“Suatu ketika dulu saya juga merupakan antara ahli Parlimen yang pernah memperjuangkan nasib para wartawan.
“Saya pernah dicemuh dalam Dewan Rakyat yang mulia ini kerana mempertahankan hak wartawan dalam membuat pelaporan.
“Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini tidak ada seorang pun wartawan yang telah ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoal siasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan fitnah yang menceritakan tentang skandal, tidak ada setakat ini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta jaminan kerajaan bagi memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia tidak mengekang mana-mana wartawan dalam menjalankan tugas mereka termasuk dalam melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal.
Dalam pada itu, menurut Fahmi, Kod Etika Wartawan Malaysia itu bukanlah satu kod etika yang baharu sebaliknya penambahbaikan yang dibuat selari dengan perubahan industri media digital masa kini.
“Kod etika tersebut merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia, yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Press Institute (MPI).
“Untuk makluman, Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan Kad Perakuan Media (KPM) untuk pengamal media di Malaysia,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!