Kali pertama sambut Ramadan tanpa isteri
JENGKA - Sambutan Ramadan tahun ini mengundang pilu buat Kamal Ariffin Abdullah, 57, dari Jengka 24 di sini selepas kehilangan isteri tercinta beberapa minggu lalu.
Menurutnya, Ramadan kali ini berbeza tanpa kehadiran isteri, Allahyarham Badariah Amri di sisi yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang.
"Kalau nak imbau kenangan sepanjang Ramadan bersama isteri, memang banyak dan ia akan kekal dalam ingatan saya," katanya.
Kamal antara 22 individu yang menerima sumbangan sempena Ramadan di Felda Jengka 24 di sini pada Isnin.
Ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia sangat menghargai sumbangan tersebut.
"Bila terima sumbangan sebegini terasa sangat dihargai, terima kasih kerana tidak meminggirkan golongan macam kami," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud memberitahu, ia antara program tahunan yang dijalankan oleh Jengka 24 sempena Ramadan.
"Sumbangan terdiri barangan berupa beras, susu, gula, minyak dan kurma," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!