Sarawak diramal ribut petir, angin kencang sehingga 15 Mac
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak sehingga 15 Mac ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan analisis model cuaca, keadaan tersebut berpotensi menghasilkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutama pada sebelah petang serta berlarutan sehingga pagi.
“MetMalaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius di kebanyakan tempat.
“Termasuk di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sementara itu, jabatan berkenaan menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman sesawang dan media sosial MetMalaysia untuk mengetahui keadaan terkini cuaca.
“Muat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!