Dua anggota JPJ ditahan bersama 13 botol air ketum
KOTA BHARU - Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan bersama air ketum dalam Operasi Tapis Bersepadu dan Tapis Khas yang diadakan bermula 1 Mac lalu hingga Isnin.
Kedua-dua anggota terbabit yang berusia 24 dan 28 tahun ditahan pada jam 9 malam, Ahad di sebuah rumah kediaman perumahan di Tanah Puteh, Jalan Kuala Lipis, Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil serbuan yang dilakukan pihaknya telah merampas 13 botol plastik berisi cecair keperangan disyaki air ketum anggaran berat 18.25 liter.
"Ujian saringan air kencing terhadap dua anggota itu negatif dan mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
"Kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan direman tiga hari bermula Isnin hingga Rabu untuk siasatan lanjut," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Selasa.
Muhamad Zaki berkata, dua lagi penjawat awam turut ditahan sepanjang operasi tersebut.
Katanya, seorang pegawai penjara telah ditahan di Machang pada 2 Mac lalu sekitar jam 1.30 pagi selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek yang berusia 49 tahun mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait dadah.
"Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata, pada 5 Mac lalu kira-kira jam 6.15 petang, seorang pembantu perawatan kesihatan telah ditahan di Gaung, Pasir Mas juga kerana didapati positif methamphetamine.
"Suspek yang berusia 46 tahun itu mempunyai satu rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!