992 mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan sejak 2022 -KDN

Shamsul Anuar Foto Bernama
Shamsul Anuar Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa menahan 526 individu membabitkan 280 kes pemerdagangan manusia dari 2022 hingga hari ini, manakala 992 mangsa jenayah itu berjaya diselamatkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

"Untuk tahun ini, sebanyak 38 kes pemerdagangan orang (dilaporkan), melibatkan 59 tangkapan direkodkan serta 141 orang diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dalam sesi soal jawal di Dewan Rakyat, berhubung jenayah pemerdagangan manusia dan usaha dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani jenayah itu pada Selasa.

Selain penguatkuasaan melalui Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dipinda pada 2022, pihaknya turut melakukan inisiatif kepada majikan syarikat untuk menyertai aku janji atau ikrar bersama kerajaan menangani aktiviti pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Shamsul Anuar berkata, sebanyak 28 syarikat telah melaksanakan insiatif terbabit, setakat ini.

"Selain itu, semua syarikat yang mendapat kontrak daripada KDN mesti melaksanakan aku janji dan ikrar bebas buruh paksa ini,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai kerjasama strategik dengan negara jiran melalui platform ASEAN, bagi mengetengahkan isu jenayah penipuan yang boleh mengundang aktiviti pemerdagangan manusia.

"Misalnya melalui mesyuarat Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan mesyuarat pegawai kanan sejak 2022.

Artikel Berkaitan:

"Isu itu (pemerdagangan manusia) menjadi agenda tetap bagi kedua-dua mesyuarat dan tentunya pertukaran maklumat dan data dapat dilakukan, selain meningkatkan kerjasama selain Polis Diraja Malaysia dan diplomat negara ASEAN, badan bukan kerajaan, Interpol dan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung kerjasama dan komitmen kerajaan dan negara ASEAN mengenai sindiket penipuan pekerjaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!