Empat penjawat awam direman, disyaki terima rasuah lebih RM5 juta

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman pada Selasa.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat penjawat awam direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 15 Mac itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Menurut sumber, empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 40-an hingga 50-an itu ditahan sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga 4 petang pada Isnin.

"Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Empat penjawat awam direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan.
Empat penjawat awam direman empat hari kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan.

"Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023," katanya pada Selasa.

Menurut sumber, sindiket terbabit dipercayai menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta.

"Sindiket juga dipercayai telah memberi rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

"Rasuah itu diberikan dalam konteks untuk menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain," katanya.

Susulan operasi itu, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

"Modus operandi sindiket ini menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

"Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen," kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat suspek tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!