Laporkan jika warga asing berniaga di bazar Ramadan
JOHOR BAHRU - Orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati warga asing berniaga di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, ini berikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah mengeluarkan lesen kepada mereka untuk menjalankan perniagaan.
"Kita tegaskan sekali lagi bahawa kita tak pernah keluarkan lesen kepada warga asing. Di peringkat PBT kalau orang ramai nampak ada peniaga asing termasuk Rohingya yang berniaga di celah-celah bazar (Ramadan) boleh laporkan perkara tersebut.
"Memang ada, tapi jumlahnya sedikit dan mereka pun tahu mereka tak boleh berniaga dan kita dah kuat kuasakan peraturan," katanya.
Mohd Jafni berkata demikian pada sidang akhbar ketika melawat Bazar Ramadan Bandar Baru Uda pada Selasa. Hadir sama Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noor Azam Osman.
Difahamkan, sebanyak 9,769 petak niaga untuk bazar Ramadan telah diluluskan di 182 lokasi manakala 1,904 petak niaga bazar Aidilfitri, telah diluluskan di 25 lokasi di sekitar negeri bagi kemudahan golongan peniaga.
Malah, kesemua petak berkenaan juga telah mendapat kelulusan di peringkat 16 PBT dan kesemua kelulusan telah diberikan kepada kesemua peniaga terbabit.
Sementara itu Mohd Jafni berkata, kesemua peniaga diminta untuk mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh PBT masing-masing bagi memastikan makanan yang dijual selamat.
"Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah dari segi kebersihan di mana pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah berikan amaran supaya pastikan makanan bersih.
"Oleh itu, pihak PBT juga akan bekerjasama dengan pihak KKM untuk adakan sampling (persampelan) dan sebagainya kelak," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!