Lelaki hilang ditemukan maut, kereta jatuh gaung
GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia selepas kereta dipandunya terjatuh gaung di Jalan Paya Terubong di sini pada petang Selasa.
Difahamkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Bennedd Chew Wei Fung adalah warga Singapura berusia 29 tahun.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadli Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari berhubung sebuah kenderaan berada di bawah gaung berkenaan.
Menurutnya, setelah membuat pemeriksaan, bomba menemui mayat seorang lelaki terbaring berdekatan keretanya.
"Kejadian berlaku dari Paya Terubong ke arah Relau. Keadaan kereta Proton Persona remuk dan mangsa dipercayai terpelanting selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung.
"Mangsa disahkan maut ketika ditemui selepas cedera parah di seluruh badan. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, anggota bomba mengalami kesukaran untuk turun ke lokasi kejadian berikutan keadaan gaung yang tinggi.
"Kereta mangsa terjatuh dari ketinggian 45 meter dan kita mengalami sedikit kesukaran untuk turun ke situ.
"Difahamkan kemalangan tersebut berlaku sejak beberapa hari lalu namun hari ini baru dilaporkan oleh orang awam," katanya.
Operasi menyelamat turut dibantu anggota daripada BBP Paya Terubong.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!