Laine tekad tawan hati Pan-gon

Nooa Laine. Foto Football Association of Malaysia
Nooa Laine. Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PEMAIN warisan Malaysia-Finland, Nooa Laine bertekad untuk menawan hati ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sekiranya dipilih antara 25 pemain bagi mengharungi saingan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

Menurutnya, beliau sedar akan persaingan sengit dalam kalangan 33 pemain dipanggil pengendali Korea Selatan itu pada kem latihan pusat baru-baru ini namun sedia memberikan yang terbaik dalam menggalas cabaran negara kali ini.

Penyerang Selangor FC bagi musim 2024/2025 itu kali terakhir dipanggil menyertai skuad senior adalah semasa aksi kelayakan sama menentang Kyrgyzstan dan juga Taiwan tahun lepas.

“Penting bagi diri saya untuk merebut tempat dalam barisan pemain senior...sudah biasa dengan pertandingan ini.

"Pasti ada pemain yang sudah lama bersama skuad negara tetapi apabila diberi peluang, saya akan memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Kelana Jaya pada Selasa.

Malaysia yang berada di ranking ke-132 dunia, dijadual menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat pada 22 Mac sebelum melayani kunjungan pasukan ke-80 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 26 Mac.

Harimau Malaya kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata diikuti Oman dan Kyrgyzstan yang berkongsi tiga mata di kedudukan kedua dan ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata dengan berbaki empat perlawanan lagi.

Pemain berusia 22 tahun itu dalam masa sama berpendapat hanya satu aksi pemanas badan berdepan pasukan Nepal pada Jumaat ini sebelum saingan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bukanlah satu masalah besar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, skuad negara hampir pasti mempunyai masa yang cukup untuk membina momentum dalam usaha mencuri mata pada kedua-dua perlawanan tersebut.

“Sudah tentu ada perbezaan untuk beraksi pada musim ini dan kami baru sahaja melalui pramusim.

"Terdapat perbezaan terutamanya dari segi kecergasan perlawanan.

“Tetapi saya lihat ini tidak menjadi masalah kerana kita masih mempunyai masa yang cukup.

"Barisan kejurulatihan melakukan kerja yang baik untuk persiapan kami menentang Oman,” katanya yang akan beralih tumpuan kepada saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar bulan hadapan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!