Pemandu maut, trak tunda terbabas langgar tiang papan tanda
KLUANG - Seorang lelaki maut selepas trak tunda dipandunya terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat sini pada Selasa.
Kemalangan pada jam 1.30 petang antara laluan Simpang Renggam ke Sedenak itu mengakibatkan semua jalan arah utara ditutup manakala semua jalan arah selatan terhalang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa, Pele Pressly, 44, yang berasal dari Tenom, Sabah cedera di bahagian kepala dan badan.
"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang hadir ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati trak jenis Volvo dipandu mangsa seorang diri datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
Bagaimanapun katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang papan tanda yang berada di tengah pembahagi jalan.
"Ini menyebabkan papan tanda jatuh melintang di atas lebuh raya menghala ke utara," katanya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan 1 Abd Rahim Razali berkata, kemalangan tersebut melibatkan trak tersebut yang seberat 10 tan.
"Pihak bomba mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis.
"Operasi tamat pada jam 1.51 petang," katanya dalam kenyataan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!