Sertai JTQ untuk hayati mesej 114 surah dalam al-Quran

Shaykh Sharif Hasan Banna dan Marhaini
Shaykh Sharif Hasan Banna dan Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - Islamic Institute For Development & Research (IIDR) mengajak seluruh umat Islam untuk meningkatkan kefahaman mengenai sinopsis 114 surah dalam al-Quran melalui program Journey Through The Quran (JTQ) secara hibrid selama empat hari sempena Ramadan ini.

Program yang julung kali diadakan di negara ini, bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak bermula 9 pagi hingga 5 petang pada 16, 17, 23 dan 24 Mac ini.

Untuk berkongsi ilmu dengan lebih meluas, peserta juga diberi alternatif untuk mengikuti kelas tersebut secara atas talian.

Pengerusi IIDR, Shaykh Sharif Hasan Banna ketika dihubungi melalui WhatsApp berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak UIAM dan Abdul Hamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan serta disokong oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Karya Bestari dan Sinar Karangkraf.

JTQ, kursus pendidikan awam yang bertapak di London sejak 15 tahun lalu bertujuan memberi gambaran keseluruhan al-Quran secara sistematik.

Selain itu, peserta diberi pendedahan mengenai 99 pelajaran pembangunan diri dan mengetahui lebih dari 1000 perkataan Arab al-Quran. Gaya pengajaran juga dinamik dan menarik melalui pembentangan, slaid dan video.

Sehingga kini, seramai 25,000 pelajar dari lebih 135 negara telah mengikuti JTQ. Pengajian al-Quran ini menjadi fokus utama dalam pendidikan Islam, selain akidah, hadis dan fiqh.

“Semua umat Islam percaya bahawa al-Quran sebagai wahyu terakhir ALLAH SWT dengan tujuan membimbing manusia menuju ke jalan yang benar. Ramai orang boleh membaca dan menghafal al-Quran dalam pelbagai bahasa.

Artikel Berkaitan:

“Namun sejauh manakah pemahaman umat Islam terhadap al-Quran dan bagaimana relevannya pada masa kini? Kursus ini diharapkan dapat membentuk pemikiran dan sikap kita untuk menghargai keindahan dan kekuatan al-Quran," katanya.

Tambah beliau, ini selari dengan matlamat JTQ untuk membina hubungan kita secara peribadi dengan al-Quran dan mengubah kehidupan dengan lebih baik atau disebut Paradigma al-Quran. Ia adalah perjalanan hikmah dan bimbingan daripada ALLAH SWT untuk menyuburkan hati dan mencerahkan minda kita.

IIDR yang mensasarkan 200 peserta secara fizikal pada JTQ tahun ini dengan harga tiket berbeza mengikut pilihan iaitu tiket secara bersemuka sepanjang 4 hari berharga RM600; bersemuka dua hari-RM420; bersemuka sehari-RM220 ; atau secara dalam talian termasuk akses rakaman-RM550.

Bagi mereka yang berminat tapi kurang berkemampuan, boleh memohon biasiswa yang ditawarkan potongan 50 hingga seratus peratus oleh pihak IIDR kepada 100 orang pertama. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai JTQ dan menyertainya, sila layari di www.iidr.org

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF memberi sokongan kepada pihak IIDR dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap al-Quran, tambahan pada Ramadan, bulan al-Quran ini.

“Hubungan IIDR bersama WUIF bermula dengan penyertaan Shaykh Sharif Hasan Banna sebagai moderator pada World #QuranConvention (WQC), 2 Disember 2023. Pihak kami menyambut baik cadangan beliau untuk pihak IIDR berkolaborasi bersama WUIF dalam mendekatkan ummah dengan al-Quran.

“Selepas WQC, kini semakin ramai pembuat modul, penulis dan penyelidik dari dalam dan luar negara datang untuk bersinergi dengan WUIF. Ia merupakan perkembangan yang positif untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak dalam membawa misi MenQurankan Bangsa mengikhlaskan Ummah.

“Pihak kami mengalu-alukan orang ramai yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam untuk menyertai JTQ yang pertama kali diadakan di negara ini dan dapat mengenal al-Quran lebih dekat melalui pendedahan sinopsis 114 surah yang dibawakan sendiri oleh Shaykh Sharif Hasan Banna,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!