Akta Perkhidmatan Parlimen jamin kebebasan, autonomi Parlimen - Azalina
KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju secara prinsip meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu bagi memberi kuasa autonomi pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain itu ia membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen diwujudkan bagi mengendalikan semua urusan pentadbiran Parlimen di bawah skim perkhidmatan baharu.
“Langkah reformasi ini selaras dengan matlamat kerajaan ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan badan eksekutif sekali gus memperkasakan semangat Perlembagaan.
“Bagi merealisasikan reformasi ini, beberapa sesi libat urus yang berkesan telah diadakan pada 2023 dan tahun ini, termasuk dengan semua pihak berkepentingan bagi memuktamadkan ketetapan dasar berkenaan.
“Sudah 90 peratus siap, rang undang-undang juga sudah siap, hanya tunggu masa (dibentangkan). Kalau boleh kita nak buat pindaan bersekali dengan pindaan (rang undang-undang) kewarganegaraan yang nak dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai pelan hala tuju dan garis masa dalam mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjamin kebebasan dan autonomi Parlimen.
Kerajaan Madani komited pinda Perlembagaan Persekutuan
— SinarHarian (@SinarOnline) March 13, 2024
BERITA SEMASA 13 MAC 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan Madani komited dan telah bersetuju secara prinsip bagi meminda... pic.twitter.com/b7Pu14Pmqd
Sementara itu menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai rundingan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, Azalina menjelaskan, perkara tersebut perlu dibincangkan antara speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Maknyanya inilah hubungan antara peranan kebebasan yang dimainkan oleh kedua-dua speaker.
“Ahli Parlimen terikat dengan parti dan ketua whip masing-masing, maka dengan jawatankuasa yang ada itulah perbincangan yang perlu wujudkan.
“Dengan pindaan ini, sekurang-kurangnya dapat dimulakan satu perbincangan secara terbuka berkenaan peranan yang lebih tepat kepada ahli Parlimen menjalankan tugas,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!