Dibayar RM100,000 mengaji al-Quran di media sosial

Pengajian al-Quran secara bersemuka yang dilaksanakan BeDaie. Foto BeDaie
Pengajian al-Quran secara bersemuka yang dilaksanakan BeDaie. Foto BeDaie
A
A
A

KOTA BHARU - Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie memperuntukkan bayaran lumayan RM100,000 kepada 10 individu untuk mengaji al-Quran di platform media sosialnya sepanjang Ramadan ini.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani berkata, inisiatif itu tercetus dalam usaha menggalakkan orang ramai untuk membaca al-Quran dan terus meraih pahala sepanjang bulan yang mulia.

Katanya, peserta akan melalui tapisan dan dipilih BeDaie sendiri serta menerima RM10,000 setiap seorang melalui keseluruhan peruntukan yang disediakan.

Muhammad Amar Mirza
Muhammad Amar Mirza

“Kami mahu dalam keadaan teknologi masa kini, umat Islam tidak meninggalkan al-Quran dan sebab itu akan diadakan secara langsung bacaan al-Quran secara berterusan sepanjang Ramadan di medium Tiktok.

“Dalam tempoh itu, dijangka ada beberapa kali khatam al-Quran sebelum tamatnya Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurut beliau, 10 individu terpilih akan membaca al-Quran secara bergilir-gilir selama sebulan dan masih terdapat kekosongan kepada sesiapa sahaja yang tahu membaca al-Quran dengan betul serta sedap didengar untuk diisi dalam kesemua slot selama sebulan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Amar Mirza (dua dari kiri) yang dijemput dalam sebuah program al-Quran sebuah stesen televisyen sebelum ini. Foto BeDaie
Muhammad Amar Mirza (dua dari kiri) yang dijemput dalam sebuah program al-Quran sebuah stesen televisyen sebelum ini. Foto BeDaie

Katanya, langkah tersebut pertama kali dilaksanakan dan dijangka diteruskan pada masa hadapan.

“Sebelum ini, BeDaie juga menyediakan perkhidmatan Satu Daie Satu Rumah untuk mengajar orang ramai membaca al-Quran secara bersemuka bersama tenaga pengajar di kediaman masing-masing.

“Menjadi salah satu misi BeDaie agar tiada sesiapa pun yang terlepas pandang daripada pembelajaran agama dan dijamin dapat membawa perubahan positif kepada diri sendiri, ahli keluarga serta kehidupan seharian,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!