Pimpinan PKR wajar berhati-hati terima ahli baharu, elak isu khianat

Haziq Azfar
Haziq Azfar
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar lebih berhati-hati menerima keanggotaan baharu bagi mengelakkan peristiwa pengkhianatan terhadap parti itu pada tahun 2020 berulang kembali.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, PKR sebagai salah satu parti utama menerajui Kerajaan Perpaduan perlu mengekalkan kestabilan parti agar dapat melaksanakan agenda reformasi tanpa terpalit dengan permasalahan dalaman yang berupaya mengalihkan fokus sebenar.

"Oleh itu, segala kemungkinan yang boleh mengganggu gugat kestabilan dalaman parti khususnya menerima keanggotaan baharu hasil penghijrahan beramai-ramai dari parti lain harus diambil kira dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya.

"Selain itu, PKR juga perlu terus beriltizam menunjukkan teladan yang baik untuk parti politik lain serta ikhlas dalam perjuangan di medan siasah," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman menjangka lebih ramai pemimpin dan pengasas parti itu di semua peringkat akan menyertai PKR.

Muhammad Faiz yang mengesahkan penyertaan dalam PKR semalam membayangkan perkara itu akan berlaku dengan lebih ketara menjelang pemilihan parti Bersatu yang dijangka berlangsung tahun ini.

Tambah Haziq Azfar, PKR wajar tidak membenarkan sebarang ruang dibuka untuk membenarkan perkara itu berlaku sekali lagi.

"Laporan akhbar oleh beberapa agensi media semalam terkait hasrat dan minat segolongan kumpulan untuk menyertai PKR perlu menjadi penggera amaran buat pimpinan parti untuk lebih berhati-hati menerima keanggotaan baharu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!