Kita kian bermusuh dengan alam
KIAN jelas manusia moden kini mengisytiharkan bermusuhan dengan alam. Tidak dengan kata-kata yang terlalu jelas tetapi ditandai oleh banyak tindakan dan sikap mereka terhadap alam.
Natijahnya sangat nyata. Persidangan demi persidangan menghasilkan retorik yang berulang-ulang. malah semua wakil negara memeterai perjanjian deklarasi dan resolusi setiap tamat persidangan atas nama komited untuk memelihara alam yang semakin rosak.
Sejumlah persidangan dan perjanjian dihasilkan pada abad ke-20 dan juga abad 21. Setidaknya empat persidangan mega mengenai alam sekitar diadakan.
Persidangan PBB Alam Sekitar Manusia - UNCHE (Persidangan Stockholm) pada 1972, Persidangan Pembangunan dan Alam Sekitar - UNCED pada 1992, (Persidangan Rio / Persidangan Bumi), Sesi Khas Persidangan PBB Mengenai Pembangunan Mapan, New York pada 1997 (Persidangan Bumi II) dan Persidangan Kemuncak Pembangunan Mapan - WSSD pada 2002 di Johannesburg.
Persidangan mengenai perubahan cuaca juga diadakan setiap tahun bermula 1995 di Berlin sehingga di Madrid pada 2019 yang menghasilkan Protokol Kyoto dan Perjanjian Paris.
Namun, sebaliknya, yang jelas alam tidak dapat dipulih, malah bertambah parah. Melihat kepada kemusnahan alam, seolah-olah kualiti alam dan keseimbangan ekologi tidak dapat diselamatkan lagi.
Dari udara hingga air, dari laut hingga ke gunung dan hutan belantara. Ekologi bumi telah dirosakkan sehingga tidak dapat dirawat walaupun dengan kecanggihan teknologi moden.
Keputusan manusia sama ada oleh sebuah kerajaan mahupun konglomerat gergasi sehingga ke setiap individu, nampaknya memporak-perandakan fungsi alam sehingga ke tahap paling kritikal.
Jelas isu alam bukan isu utama dalam senarai kehidupan manusia moden kini. Masing-masing mempamerkan kerakusan untuk mengeksploitasi alam tanpa batas.
Petanda
Sepanjang 20 tahun pertama abad ke-21 ini, kita menyaksikan krisis alam menjadi semakin kronik. Seperti petanda bahawa penghuni bumi ini sedang bertembung langsung dengan alam. Dengan sikap bermusuh dengan alam inilah, alam telah memberi isyarat yang jelas, krisis yang bertambah parah bakal dirasai kesannya oleh penduduk bumi.
Akibatnya tanah hilang kesuburan, kebuluran bertambah, manusia terpaksa dipindahkan, haiwan dan kehidupan fauna banyak pupus, penyakit mewabak, bumi semakin panas, paras laut meningkat, kemarau melanda dan banjir lebih ganas.
Melihat kepada kebakaran di Amazon, Amerika Syarikat dan kini di Australia, manusia perlu akur terhadap alam yang sangat sensitif. Juga banjir besar di Jakarta. Bencana yang memusnahkan jutaan harta dan nyawa. Fenomena gempa bumi dan tsunami yang mengerikan semakin kerap. Tidak ketinggalan wabak penyakit yang merebak muncul melalui virus yang membawa maut kepada ratusan ribu nyawa.
Alam berbicara dengan tersendiri. Flora dan fauna yang meliputi bumi punya cara menghantar isyarat apabila keseimbangannya terganggu. Penghapusan hutan mengakibatkan tadahan air terganggu dan kekayaan biodiversitinya terancam. Penambakan pantai dan laut merubah aliran pergerakan ombak yang memusnahkan kehidupan laut itu sendiri.
Perlombongan galian secara eksploitatif menghambur racun yang menyesakkan udara. Pengeluaran karbon yang meningkat menyebabkan kesan rumah hijau, hujan asid, pemanasan bumi dan perubahan cuaca. Penghasilan bahan teknologi telah menyebabkan buangan sisa toksik yang meracun bumi. Pembuangan sampah yang menggunung tidak lagi dapat dikendalikan dengan efektif.
Semua itu adalah natijah daripada keangkuhan yang sangat menonjol oleh manusia.
*Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!