Ciri-ciri suami yang baik menurut Islam

DALAM usaha menjadikan diri sebagai pasangan terbaik, baik suami ataupun isteri, masing-masing perlulah memperbetulkan niat mereka ketika melangkah ke alam perkahwinan. -Foto: 123rf
DALAM usaha menjadikan diri sebagai pasangan terbaik, baik suami ataupun isteri, masing-masing perlulah memperbetulkan niat mereka ketika melangkah ke alam perkahwinan. -Foto: 123rf
A
A
A

KATA orang, tidak perlulah mendambakan suami sebaik Ali bin Abi Talib RA andai diri tidak sehebat Fatimah RA.

Namun begitu, menjadi lumrah manusia sukakan kebaikan. Lebih-lebih lagi dalam urusan mencari pasangan hidup suami isteri.

Segelintir orang dikurniakan pasangan suami atau isteri yang banyak menguji kesabaran mental dan fizikal walaupun mereka mempunyai sikap yang baik.

Sebagai ketua keluarga, bagaimanakah menjadi suami terbaik kepada isteri tercinta?

Perunding motivasi wanita dan kekeluargaan, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, dalam usaha menjadikan diri sebagai pasangan terbaik, baik suami ataupun isteri, masing-masing perlulah memperbetulkan niat mereka ketika melangkah ke alam perkahwinan.

USTAZAH SITI FATAHIYAH
USTAZAH SITI FATAHIYAH

“Nawaitu mereka (berkahwin) adalah untuk beribadah kepada ALLAH dan menyuburkan kasih sayang dengan penuh keikhlasan. Ini penting bagi memastikan hubungan suami dan isteri sentiasa dibajai dengan cinta tanpa dendam terutamanya andai terdapat sebarang kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika ada kasih sayang yang turut disertai dengan dendam dalam diam, lama-kelamaan ia akan memudarkan aura mawaddah wa rahmah dalam rumah tangga,” katanya kepada Sinar Islam.

Seandainya ada kesalahan lampau pernah dilakukan oleh suami mahupun pasangan, Siti Fatahiyah yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara itu mengingatkan agar mereka mencari kekuatan untuk memaafkan kesalahan tersebut dan melupakannya.

Selagi ada dendam walaupun cuba disembunyikan, katanya, ia akan melenyapkan rasa ketenangan dan kebahagiaan dalam rumah tangga.

“Pada masa sama, pasangan yang melakukan kesalahan tadi perlu memastikan tidak mengulangi kesilapan tersebut. Jangan mengambil kesempatan atas tolak ansur yang diberikan oleh pasangan kita.

“Bertaubatlah atas kesalahan yang dilakukan dan kerjakanlah amal kebaikan serta mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Apakah kriteria suami yang baik menurut Islam?

Menjawab persoalan itu, ahli akademik itu menjelaskan, suami hendaklah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik antaranya dengan memberikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan berdasarkan kemampuan, menyediakan tempat tinggal bersesuaian dengan kemampuan dan menjaga kesucian pasangannya.

“Pada masa sama, suami hendaklah mendidik dan memimpin isteri ke jalan yang benar serta diredai ALLAH SWT, menjaga kesihatan dan keselamatannya.

MENJADI tanggungjawab suami untuk mendidik dan memimpin isteri ke jalan yang benar serta diredai ALLAH SWT, menjaga kesihatan dan keselamatannya. -Foto: Pexels
MENJADI tanggungjawab suami untuk mendidik dan memimpin isteri ke jalan yang benar serta diredai ALLAH SWT, menjaga kesihatan dan keselamatannya. -Foto: Pexels

“Bagi individu yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, bersifat adillah terhadap isteri-isteri,” ungkapnya.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi laman web Baitul Muslim, terdapat enam ciri-ciri suami yang soleh.

Berikut perinciannya:

1. Taat mengerjakan perintah dan suruhan ALLAH SWT serta rasul-NYA.

2. Mampu memberikan nafkah zahir dan batin.

3. Sedia memberi nasihat, teguran dan didikan kepada isteri.

4. Berlemah lembut dalam setiap perbuatannya dengan mencontohi sifat Rasulullah SAW dalam menyantuni insan di sekeliling termasuk para isteri Baginda.

JALANKANLAH tanggungjawab sebagai suami dan isteri dengan baik sebagaimana dianjurkan dalam Islam. -Gambar hiasan/ Foto: Pexels
JALANKANLAH tanggungjawab sebagai suami dan isteri dengan baik sebagaimana dianjurkan dalam Islam. -Gambar hiasan/ Foto: Pexels

5. Memuliakan keluarga kedua-dua belah pihak.

6. Bersifat pemaaf.

Walaupun manusia sememangnya tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, sebaiknya belajarlah memaafkan. Ingatlah, kita juga insan biasa yang tidak sempurna dan banyak melakukan kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!