Ahli fisioterapi rugi RM234,160 terjerat pelaburan tidak wujud
KUANTAN - Seorang ahli fisioterapi kerugian RM234,160 selepas dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 25 tahun dari Kuantan dikatakan mula melihat iklan mengenai pelaburan itu di laman sosial Facebook pada 13 Januari lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian berminat untuk menyertai pelaburan yang menguntungkan melalui aplikasi Bybit.
"Mangsa memasukkan wang berjumlah RM234,160 dengan 11 kali transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek menggunakan wang simpanan, pinjaman bank serta pinjaman daripada kenalan.
"Transaksi itu mula dilakukan mangsa bermula pada 15 Januari hingga 2 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Yahaya berkata, mangsa mula menyedari ditipu setelah tidak menerima keuntungan yang dijanjikan.
"Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan," katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!