50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dilindungi secara percuma
PUTRAJAYA - Seramai 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah menerima manfaat perlindungan sosial menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Manfaat itu diperoleh secara percuma selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) membiayai 10 peratus baki caruman kepada mereka.
Ia susulan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2024 yang menaikkan tajaan caruman SKSPS kepada 90 peratus dari 80 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, baki 10 peratus tersebut ditaja hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa GOLD sebanyak RM1.165 juta.
"Orang kata menteri sibuk jual nombor tetapi melalui penjualan nombor pendaftaran GOLD ini, kerajaan dapat menjana hasil sebanyak RM17 juta dan RM1.165 juta kita manfaatkan kepada 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara," katanya menerusi sidang akhbar selepas pelancaran inisiatif itu di Menara Perkeso pada Rabu.
Turut hadir, Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Ujar Anthony, keperluan skim perlindungan seumpanya sering dipandang mudah oleh sesetengah pihak namun impaknya sangat besar kepada keluarga sekiranya berlaku insiden malang yang tidak dijangka.
"Sebagai contoh, insiden di Elmina baru- baru ini yang mana salah seorang daripada dua pemandu darat terkorban adalah pencarum SKSPS.
"Walaupun telah meninggal dunia, keluarga iaitu ibu bapanya dapat menikmati pencen seumur hidup hasil daripada caruman berkenaan," katanya.
Sementara itu, Steven berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan 500,000 pencarum SKSPS tahun ini.
"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) suku ketiga 2023, seramai 2.98 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri, namun hasil semakan rekod caruman SKSPS setakat 3 Mac lepas mendapati hanya 14.56 peratus bersamaan 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri direkodkan Perkeso," jelasnya.
Ujar beliau, SKSPS memberi faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan dan sebagainya.
Tambahnya, sebanyak RM3.5 juta pembayaran faedah telah dibuat sehingga 3 Mac lalu berdasarkan 755 kes tuntutan pencarum SKSPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!