Pembangkang pertikai penguasaan bahasa Melayu King Sing
KUALA LUMPUR - Penggunaan bahasa Melayu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menarik tumpuan Dewan Rakyat apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempertikai tahap penguasaanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Perkara itu mula dibangkitkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang mendakwa penerangan diberikan Ahli Parlimen Bintulu itu tidak jelas dan sukar difahami wakil rakyat di blok pembangkang.
"Yang Berhormat cakap betul-betul. Saya tak berapa jelas sebab bukan saya saja (tak faham) tetapi ramai yang tak jelas.
"Cakap bahasa (Melayu) jelas sikit YB. Takut mengelirukan dewan," katanya ketika bangkit mencelah.
Susulan itu, King Sing enggan meneruskan jawapan yang disediakan sebaliknya akan memberi jawapan bertulis.
Selain Mas Ermieyati, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) turut bangkit mencelah dengan mengatakan beliau juga tidak faham dengan apa yang diperkatakan King Sing.
Selain itu Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) juga bangun dengan Peraturan Mesyuarat 38(3) kerana mendakwa tidak faham dengan jawapan menteri.
"Peraturan Mesyuarat 38(3), saya ingat Datuk Yang Dipertua (Dewan Rakyat) berhentikan (penggulungan oleh menteri) sebab kami tak faham apa yang dibacakan.
"Isunya, apa yang dibentangkan oleh menteri kami pun tak faham. Mungkin dia sendiri pun tak faham bahasa Melayunya.
"Saya minta Yang Dipertua supaya menteri tak payah (teruskan) penggulungan sebab kami tak faham bahasa yang digunakan. Jadi lebih baik suruh pegawai tulis jawapan dengan bahasa yang boleh semua faham," katanya.
Dalam reaksinya. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata beliau memahami penjelasan King Sing.
"Saya pun faham apa menteri cakap. Saya faham dan saya tahu, saya pun manusia," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!