ADUN bukan Islam sahut cabaran berpuasa
MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin mengakui banyak kelebihan berpuasa meskipun memberitahu terasa penat apabila menunaikan amalan itu.
Alex berkata, dia menyahut cabaran berpuasa daripada rakan-rakan beragama Islam untuk lebih memahami amalan keagamaan bagi sesuatu bangsa dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, ia bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, namun memberi pengajaran agar tidak melakukan pembaziran dan mengenangkan kesusahan keluarga miskin yang ada kalanya terpaksa mengikat perut.
"Dulu masa sekolah saya hanya diberikan kefahaman tidak boleh makan dan minum depan rakan beragama Islam.
"Bila saya sahut cabaran, saya mula tahu perlu makan sebelum azan Subuh dan berbuka pada waktu Maghrib," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Ujarnya, disebabkan kekangan masa menghadiri program-program tokong di Jasin dan Masjid Tanah pada malam sebelum Ramadan, maka dia terpaksa membeli nasi goreng cili padi sebagai juadah bersahur.
"Saya tak sempat nak masak di rumah, dengan nasi goreng dan minuman kacang soya saya berjaya menahan diri sehinggalah waktu berbuka.
"Selain itu ada rakan-rakan Melayu yang turut berkongsi cadangan makanan untuk lebih tahan lapar dan tidak terlalu dahaga seperti buah-buahan," katanya.
Jelasnya, inilah pertama kali beliau berjaya berpuasa dan tidak mustahil akan menyahut cabaran seperti ini pada masa akan datang untuk lebih memahami dan menghormati agama sesuatu kaum.
Sebelum itu beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hak Ehwal Pengguna negeri membuat siaran langsung di akaun Facebook miliknya yang menunjukkan dia sedang bersahur.
Video itu ditonton kira-kira 11,150 orang dan mendapat seramai 130 individu telah memberikan komen.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!