Kes anggota tentera dakwa dipukul penyelia selesai

Muhammad Hafizuddeain. Foto Bernama
Muhammad Hafizuddeain. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kes melibatkan seorang anggota tentera didakwa dipukul penyelia di Kem Rasah, Negeri Sembilan yang disiasat polis sebelum ini dianggap selesai apabila kedua-dua mereka sudah pun menarik kembali laporan polis yang dibuat.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kejadian yang berlaku melibatkan kedua-dua anggota hanyalah sekadar perselisihan faham dan kandungan di dalam laporan polis mengenai kejadian juga tidak tepat.

Menurutnya, disebabkan itulah mereka bersepakat untuk menarik balik laporan polis yang dibuat dan isu tersebut diselesaikan di peringkat pasukan.

Muhammad Hafizuddeain (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra pada Rabu.
Muhammad Hafizuddeain (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra pada Rabu.

"Perkara ini telah diselesaikan di pihak bukan sahaja mangsa malah melibatkan anggota keluarga. Jadi ia diselesaikan cara baik dan saya rasa benda ini pun telah tular di dalam media sosial di mana mereka sama-sama telah pergi ke balai polis Seremban untuk menarik balik laporan polis ini.

"Tapi apa yang saya ingin tegaskan di sini, Tentera Darat Malaysia memang memandang serius apa jua salah laku yang melibatkan kes penderaan, seperti yang kita dengar baru-baru ini. Sekiranya berlaku sebarang kes yang berkaitan, kita akan semak, kita akan buat siasatan dan akan ambil tindakan yang sekeras-kerasnya sekiranya disahkan benar berlaku," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra di sini pada Rabu.

Muhammad Hafizuddeain berkata, walaupun laporan polis sudah ditarik balik, pihak tentera akan tetap membuat siasatan lanjut mengenai punca kejadian tersebut berlaku supaya menjadi iktibar kepada anggota atau pasukan yang lain.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hafizuddeain (kanan) mengendalikan jengkaut sebagai menyempurnakan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra pada Rabu.
Muhammad Hafizuddeain (kanan) mengendalikan jengkaut sebagai menyempurnakan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra pada Rabu.

Katanya, sebarang perselisihan tidak sepatutnya mengambil keputusan dengan melaporkan kepada polis kerana perkhidmatan tentera mempunyai peraturan dan perundangan tersendiri yang boleh menyiasat serta menghukum sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota.

Pada 11 Mac lau media melaporkan bahawa pihak polis sedang menyiasat kejadian seorang anggota tentera yang didakwa dipukul penyelianya di Kem Rasah, Negeri Sembilan susulan laporan polis dibuat ahli keluarga anggota berkenaan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain menjelaskan pembinaan masjid baharu 2 Briged di Kem Syed Putra di sini sudah pun dimulakan pada tahun lepas dan dijangka siap pada Ogos 2025 dengan kos RM5.5 juta.

"Inisiatif ini bertujuan memperkasa modal insan dan memperkukuhkan kekuatan rohani khususnya pasukan 2 Briged yang selama ini tidak mempunyai masjid sebenarnya, hanya Surau Diri Jumaat.

"Dengan pembinaan masjid ini dapat menampung kira-kira 850 ke 1,000 jemaah pada satu-satu masa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!