Landskap politik selepas Kimanis

A
A
A

TINGGAL seminggu sebelum tarikh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, sudah ramai yang bertanyakan soalan kepada penulis.

Keterujaan memerhatikan keputusan sembilan PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang memperlihatkan pola sokongan semasa terhadap parti pemerintah mahupun pembangkang menimbulkan minat mereka terhadap politik negara. Dalam banyak soalan yang diutarakan, tiga soalan itu paling kerap ditanya.

Pertama, apakah PRK Kimanis serupa senarionya dengan PRK Tanjung Piai? Kedua, kuatkah Parti Warisan (Warisan) sebagai proksi Pakatan Harapan (PH) di Sabah dan ketiga, kalaulah PH kalah lagi ataupun sebaliknya, apakah yang bakal berlaku kepada landskap politik negara?

Sebagai permulaan, adalah mustahil untuk melihat mana-mana pilihan raya sama dengan di tempat yang lain.

Jadi menyamakan PRK Tanjung Piai dengan Kimanis juga adalah mustahil.

Mengapa begitu? Kerana isu-isu setempat, demografi dan persekitaran semasa selalunya berbeza mengikut sebuah kawasan pilihan raya.

Benar ada isu-isu nasional yang sering disifatkan sebagai sepunya dan universal tetapi lazimnya dalam mana-mana PRK, isu setempat yang terkedepan.

Ketika ini, PRK Kimanis memperlihatkan isu-isu setempat seperti pembangunan, perbandaran, kemudahan prasarana dan infrastruktur serta masalah ekonomi rakyat mendominasi kempen.

Artikel Berkaitan:

Berbanding di PRK Tanjung Piai, isu-isu nasional seperti permuafakatan nasional, naratif Melayu Islam, persoalan rasuah dan integriti serta janji yang masih tak tertunai lebih menonjol di sepanjang tempoh berkempen.

Begitulah juga sebelumnya ketika PRK di Cameron Highlands, Semenyih mahupun Rantau. Ia berbeza-beza mengikut tempat dan keadaan semasa.

Isu-isu kewilayahan berkaitan dengan Sabah seperti Pas Sementara Sabah (PSS), Perjanjian Malaysia (MA63), Hak-hak Sabah seperti royalti minyak serta permasalahan anak negeri mungkin menjadi perkara nasional buat orang Kimanis yang sudah tentu tiada pada kawasan lain terutama di Semenanjung.

Cuma, yang sama mungkin ialah faktor calon, isu dan jentera dalam memastikan kemenangan mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya. Tanpa faktor tersebut, agak sukar untuk mana-mana parti untuk mencipta kelebihan dan kemenangan. Kuat atau tidak Warisan di Sabah juga subjektif sifatnya.

Ada dua perkara yang mungkin memperlihatkan perkara itu. Pertama, kemampuan Warisan menumbangkan Barisan Nasional (BN) walaupun tidak sampai setahun ditubuhkan dan kedua, faktor Datuk Seri Shafie Apdal.

Namun begitu, kejayaan Warisan ketika PRU14 bukanlah disebabkan kuatnya parti itu tetapi disebabkan lompat parti selepas ‘Drama 72 jam’ mengangkat sumpah jawatan berganti-ganti antara Tan Sri Musa Aman dan Shafie Apdal yang berakhir dengan penyelesaian menerusi mahkamah. Jadi terpulanglah kepada pembaca untuk membuat kesimpulannya KeunikanSabah mempunyai keunikan politik berbanding di tempat lain. Sosiologi politik antara penduduk di Pantai Timur Sabah berbeza dengan di Pantai Barat.

Dalam kes Shafie Apdal, penerimaan beliau di sebelah Sabah Timur amat tinggi berbanding di sebelah Barat. Beliau popular di Pantai Timur terutamanya di Semporna tetapi tidak dalam kalangan orang Pantai Barat.

Begitu juga Datuk Seri Pairin Kitingan yang popular dalam kalangan orang Pantai Barat dan pedalaman Sabah (dua kawasan yang sinonim dengan etnik Kadazandusun Murut tetapi sebaliknya di Pantai Timur.

Mengapa begitu? Salah satu sebabnya adalah faktor sentimen kaum, budaya, agama dan kedaerahan yang berbeza-beza. Malah, dalam kalangan orang Bajau sendiri pun (Shafie Apdal berketurunan Bajau-Semporna), ada perbezaan di antara Bajau Laut dan Bajau Darat dalam politik orang Bajau walaupun berada dalam rumpun yang sama. Dinamika itulah yang dikaitkan dengan keunikan politik di Sabah.

Bagaimana pula dengan soalan terakhir? Sengaja penulis tidak mahu memberikan jawapannya sekarang. Ia lebih sesuai dijawab sendiri oleh pembaca seusai PRK Kimanis selesai.

Siapapun yang menang dalam PRK itu, landskap politik negara telahpun berubah selepas PRU14. Cuma mungkin apa yang bakal dicorakkan selepas kemenangan atau kekalahan itu yang menarik untuk diperhatikan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!