Minyak masak subsidi dapat permintaan tinggi di Narathiwat
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan minyak masak peket bersubsidi dari negara ini mendapat permintaan tinggi di Narathiwat, Thailand kerana statusnya yang disahkan halal serta harganya murah.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, status tersebut menjadi pilihan kerana majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam.
"Disebabkan itu musim perayaan serta Ramadan kali ini kami mempertingkatkan kawalan serta kerjasama dengan semua agensi terlibat bagi memastikan tiada kebocoran barangan subsidi berlaku.
"Penyeludup mengambil kesempatan kerana harga minyak masak peket boleh dijual dengan harga mencecah RM5.70 sekilogram. Jika dibandingkan minyak masak di negara jiran satu liter sekitar RM8," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Menurut beliau, keadaan muka bumi di antara kedua negara yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok menyebabkan ketirisan senang berlaku.
Bagaimanapun, katanya, kawalan ketat sentiasa dibuat di kawasan sempadan seperti Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Azman memberitahu, ramai yang cuba mengambil kesempatan lebih-lebih lagi di musim perayaan dan bulan Ramadan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!