Lanun Somalia rampas kapal kargo Bangladesh

Kapal MV Abdullah dirampas dalam perjalanan ke Pelabuhan al Hamriyah di Emiriah Arab Bersatu. - Agensi
Kapal MV Abdullah dirampas dalam perjalanan ke Pelabuhan al Hamriyah di Emiriah Arab Bersatu. - Agensi
A
A
A

DHAKA - Sekumpulan lanun merampas sebuah kapal kargo Bangladesh di Lautan Hindi pada Selasa dan menjadikan kesemua 23 kru sebagai tebusan, menurut pemilik kapal.

Insiden berlaku kira-kira 600 batu nautika di timur ibu negara Somalia, Mogadishu.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) dalam satu kenyataan memaklumkan, lanun yang terlibat adalah seramai 22 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Perkapalan Bangladesh Mohammad Maksud Alam berkata, kesemua anggota kru kapal milik SR Shipping Lines, itu selamat dan kerajaan sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka serta kapal itu menggunakan kesemua saluran diplomatik yang ada.

Beliau berkata, kapal kargo yang dinamakan MV Abdullah itu sedang mengangkut arang batu daripada Pelabuhan Maputo di Mozambique ke Pelabuhan Al Hamriyah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lanun berkenaan yang dipercayai rakyat Somalia dikatakan membawa senjata berat.

Pada 2010, sebuah kapal SR Shipping turut dilaporkan dirampas lanun di Laut Arab. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!