TFC bangga tiga pemain muda dapat panggilan skuad B-23 kebangsaan

Gambar dari kiri: Rahadiazli, Muhammad Ubaidullah, Muhammad Faris Rifqi
Gambar dari kiri: Rahadiazli, Muhammad Ubaidullah, Muhammad Faris Rifqi
A
A
A

KEJAYAAN tiga pemain Terengganu FC (TFC) memikat hati ketua jurulatih skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Juan Torres Garrido membuktikan pasukan itu turut memiliki barisan pemain muda berbakat.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, skuad Penyu amat berbangga dengan pencapaian tersebut yang pastinya akan memberi pelbagai manfaat untuk pemain serta kelab.

Beliau berkata, pujian juga harus diberikan kepada barisan kejurulatihan yang berjaya menggilap bakat serta potensi pemain sehingga membolehkan mereka dipanggil untuk mewakili negara dan beraksi di pentas antarabangsa.

"Pendedahan di peringkat antarabangsa pastinya akan memberi pemain lebih pengalaman sekali gus menyumbang kepada pencapaian lebih baik untuk kelab.

"TFC berharap pemain dapat membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan. Aksi ini juga boleh dianggap latihan pemanas badan untuk pemain sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga M) Mei ini," katanya ketika dihubungi.

Tiga pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-23 yang bermula Ahad ini ialah Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Muhammad Faris Rifqi Abdul Rashid dan penjaga gol Rahadiazli Rahalim.

Selain itu dua lagi pemain yang diletakkan dalam senarai bersedia ialah Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan M.Rakesh. Latihan tersebut sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang bakal berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!