Mengapa tanglung pun jadi isu?

A
A
A

SMK Pusat Bandar Puchong 1 menjadi tajuk akhbar sehari dua ini hanya kerana menggantung hiasan sempena menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Antaranya hiasan bunga dan tanglung di pintu bersama tulisan ‘Selamat Tahun Baru Cina’ dan karakter tulisan Cina yang bermaksud ‘musim bunga’.

Maka ada pihak yang mendakwa hiasan seperti itu di sekolah adalah satu percubaan menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.

Katanya, hiasan itu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan (berkenaan Islam sebagai agama Persekutuan). Sejak akhir-akhir ini mudah sangat kita menggunakan perlembagaan untuk menyanggah satu kebaikan.

Padahal dalam kes tanglung ia tiada kaitan dengan perlembagaan. Orang bodoh pun tahu ‘Gong Xi Fa Cai’ bukan perayaan agama, tetapi lebih merupakan acara kebudayaan.

Lagi pun apakah dengan menggantung tanglung orang Islam boleh berubah akidah. Lemah sangatkah keimanan orang Islam sehingga begitu mudah boleh diselewengkan?

Sebenarnya isu tanglung ini sama sahaja dengan isu tulisan jawi. Ini samalah dengan ekstrem – dan kebodohan – sesetengah Cina yang menentang tulisan jawi kerana takut tulisan itu dikaitkan dengan agama Islam.

KERAJAAN sendiri mesti tegas dalam menangani dan memerangi kebodohan dan ekstrem sesetengah pihak termasuk dalam kalangan pemain politik sendiri.

Artikel Berkaitan:

Isu-isu seperti tulisan jawi dan tanglung tidak akan menjadi kontroversi jika tidak dibarakan oleh sesetengah NGO dan orang politik sendiri.

Baik NGO atau orang politik sengaja mensensitifkan isu-isu remeh ini untuk kononnya menjadi wira kumpulan dan kaum-kaum yang diwakili.

Kerajaan pilihan rakyat mempunyai kuasa untuk memerangi puak-puak dan NGO-NGO ekstrem ini, tidak kira Melayu atau Cina. Bertindaklah tanpa was-was. Kalau patut haramkan, haramkan.

Ada pun yang berkuasa adalah kerajaan, bukan NGO, bukan politik melampau.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan siri rakaman perbualan telefon melibatkan individu-individu berprofil tinggi negara.

Antara yang didedahkan ialah perbualan antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut didedahkan ialah perbualan antara Najib dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, juga perbualan antara Dzulkifli dengan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Rahim.

Juga didedahkan ialah perbualan telefon melibatkan pegawai kanan kerajaan dan beberapa individu dari Emiriah Arab Bersatu berhubung urusan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya rakaman audio itu menunjukkan pelbagai salah laku jenayah termasuk salah guna kuasa, cubaan menutup kes, pemalsuan bukti, dan pembocoran rahsia keselamatan negara. PENDEDAHAN bos SPRM segera mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Ada yang berpendapat perbualan telefon seperti itu tidak patut disebarkan kepada umum, sebab melanggar hak dan privasi pihak terlibat.

Latheffa adalah seorang peguam kanan, dia sepatutnya tahu apa yang hendak dilakukan. Atau, apakah memang ada muslihat lain di sebalik pendedahan perbualan rahsia itu?

Atau, apakah itu adalah permulaan pendedahan siri perbualan (rahsia) ramai lagi individu berprofil tinggi yang melibatkan sekian banyak rasuah dan penyelewengan mega selama ini?

Atau, adakah pendedahan seperti ini hanya yang melibatkan Najib dan skandal 1MDB?

Seyogia diingat selain 1MDB ada sekian banyak lagi skandal yang melibatkan rompakan harta negara dan duit rakyat sejak dulu, kini dan selamanya.

AKHIR kalam, minggu lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kata ada kemungkinan menteri akan mendapat kereta rasmi baru, Toyata Vellfire.

Tetapi dua hari sudah menteri yang sama mengesahkan tidak jadi Vellfire, maka semua anggota jemaah menteri akan tetap dengan kenderaan lama, Proton Perdana. Harap-harap tidak ada yang merajuk dan kempunan...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!