Kadar harga di bazar Ramadan munasabah - KPDN
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turun padang menyiasat beberapa barangan di bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini didakwa mahal.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, berdasarkan pemeriksaan dan penilaian yang dibuat, KPDN mendapati harga yang didakwa mahal itu sebenarnya masih pada kadar yang berpatutan.
"Ia berdasarkan saiz bahan jualan tersebut itu sendiri, selain mengambil kira harga bekalan bahan mentah yang diterima oleh peniaga yang sedikit naik pada masa ini.
"Peniaga juga dilihat tidak mempunyai pilihan untuk meletakkan harga berdasarkan harga kos yang sedikit tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini tular di laman media sosial terdapat beberapa harga barangan di bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini mahal.
Dakwaan tersebut menyatakan harga sambal udang dan karipap dijual agak mahal.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan ke atas kuih karipap yang didakwa dijual mahal.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati saiz karipap tersebut besar dan intinya juga banyak.
Sehubungan itu katanya, perkara tersebut tidak boleh dipertikai dan dikenakan tindakan pencatutan.
Malah menurut beliau, peniaga tersebut telah lama berniaga di bazar Ramadan TTDI dan kesemua hasil jualan habis dijual.
"Kalau hendak kata terlampau mahal, mungkin tiada yang hendak beli. Tetapi semua jualan peniaga karipap itu habis dijual, sedangkan pembeli masih mempunyai pelbagai pilihan juadah di bazar tersebut.
"Oleh sebab itu, sedikit sukar tindakan pencatutan dapat diambil kerana tidak terdapat kesalahan yang jelas.
"Walau bagaimanapun, dua notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada peniaga tersebut," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!